Thursday 20 September 2018

UMT cadang pasang peranti satelit pantau pergerakan 'Nur Bernama'

Unit Penyelidikan Penyu Laut (Seatru) Universiti Malaysia Terengganu (UMT)  bercadang memasang peranti satelit pada badan seekor penyu yang dijadikan penyu angkat oleh Bernama dengan nama 'Nur Bernama'.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran UMT yang juga Ketua Seatru, Dr Mohd Uzair Rusli berkata pemasangan peranti satelit pada ‘Nur Bernama’ membolehkan pergerakan haiwan itu dipantau setiap hari sehingga tempoh enam bulan.
Seterusnya usaha itu dapat menarik minat dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pemuliharaan hidupan laut terutama penyu, katanya.
“Kita boleh berkongsi data pergerakan Nur Bernama secara langsung kepada masyarakat melalui siaran berita atau dokumentari terbitan Bernama. 
“Melalui itu, masyarakat akan mempunyai minat untuk mengikuti perkembangan haiwan tersebut,” katanya kepada Bernama selepas sesi perbincangan dua hala antara pihak universiti dan agensi berita berkenaan di Wisma Bernama hari ini.
Mohd Uzair berkata kos pemasangan peranti satelit pada badan penyu berusia 25 tahun itu dianggarkan bernilai RM30,000.
Dalam pada itu, Editor Eksekutif Meja Berita Am, Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Bernama, Roslan Ariffin berkata pihaknya akan membantu UMT untuk mencari dana dalam merealisasikan cadangan tersebut.
“Kita akan cuba mencari dana antaranya menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak yang boleh membiayai kos pemasangan peranti tersebut. Bukan sahaja kepada Nur Bernama tetapi kepada penyu lain juga bagi membolehkan UMT memperoleh lebih banyak data berkaitan penyu.
“Pada masa ini, kita hanya dapat maklumat mengenai Nur Bernama selepas ia kembali ke pantai contohnya tiga atau empat tahun sekali. Sekiranya peranti dipasang, kita boleh tahu pergerakan haiwan itu setiap hari dan dapat menggalakkan rasa kepunyaan kita terhadap Nur Bernama,” katanya.
Roslan juga melahirkan rasa bangga kerana Bernama bukan sahaja menjadi media pertama menjadikan penyu sebagai penyu angkat tetapi turut menjadi saluran media utama yang akan meningkatkan kepekaan dan keprihatinan rakyat ke atas survival haiwan tersebut.
Turut hadir pada sesi perbincangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Zulkefli Salleh, Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab dan Naib Canselor UMT Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment