Wednesday 19 September 2018

Salam dari Madinah


Daripada Haji Shamsudin Puteh

Alhamdulillah!
Selepas perjalanan dengan bas merentasi padang pasir selama kira-kira tujuh jam, sampailah di Madinah al-Munawarah dari kota Makkah pada lebih kurang 3.40 petang semalam.
Kumpulan kami dipercayai antara jemaah Malaysia paling akhir meninggalkan Makkah setelah berada di sana selama 35 hari .
Seperti lazimnya, suasana di Madinah lebih santai berbanding di Makkah. Bagaimanapun, jangkaan kami bahawa orang tidak ramai di Madinah kerana kebanyakan jemaah haji sudah pulang ke negara masing-masing, jauh meleset apabila kota suci ini tetap meriah dengan jemaah terutama di kawasan sekitar Masjid Nabawi.
Khabarnya, keadaan ini berlaku kerana jemaah haji datang ke Madinah untuk melakukan ziarah dan visa umrah juga sudah dibuka bagi sesetengah negara.
Dalam taklimat tadi, seorang pegawai Tabung Haji menasihati jemaah Malaysia supaya datang awal ke masjid - seawal pukul 9 pagi - untuk solat Jumaat bagi mengelak terpaksa bersolat di jalan raya.
Demikiannlah ukurannya jumlah jemaah di sini sekarang.
Bagi kebanyakan jemaah Malaysia, kedatangan ke Madinah sudah lama ditunggu-tunggu untuk mereka membeli-belah pada harga lebih murah berbanding di Makkah dan mendapatkan buah tangan untuk dibawa pulang.
Saya hanya melakukan ziarah ke kedai saja!
Sementara itu, ketibaan di Madinah disambut dengan perkhabaran yang menyentuh perasaan apabila terbaca dalam posting Sdr Ahmad Zukiman Zain bahawa bos saya, Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab akan bersara mulai Sabtu ini. Semoga ada kesempatan untuk bertemu beliau bagi mengucapkan selamat bersara, terima kasih atas budi baiknya dan memohon maaf kepadanya atas segala kesilapan saya kepada beliau apabila pulang nanti Isnin ini.

No comments:

Post a Comment