Monday 3 September 2018

Bernama Radio luaskan keupayaan di media sosial...

Bernama Radio, stesen radio berita 24 jam, yang meraikan ulangtahun ke-11 hari ini, berusaha memperluaskan liputan pendengarnya melalui promosi di media sosial tanpa bergantung kepada  penggunaan frekuensi semata-mata.
Ketua Pegawai Operasinya, Azlan Idris berkata pihaknya tidak melihat kekurangan frekuensi yang ada pada hari ini menjadi kekangan kepada stesen radio itu untuk terus menyampaikan maklumat terkini dan tepat daripada luar frekuensi yang sedia ada.
"Bernama Radio sahaja mempunyai lebih 400,00 pengikut di media sosial termasuk di Twitter, Facebook dan Instagram...jadi kita tingkatkan keupayaan kita dalam mencapai pendengar itu bukan secara tradisional di ruang radio, tetapi mencapai mereka melalui sosial media.
"Jadi ini antara perkara kita cuba beri fokus untuk tahun ini khususnya dan menukar bentuk itu menjadi lebih komersial," katanya ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara bertajuk "Bernama Radio 11 Tahun Terus Relevan" terbitan Bernama News Channel  (BNC) malam ini.
Turut menjadi tetamu dalam program yang dihoskan Sherkawi Jirim itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datuk Zulkefli Salleh.
Bernama Radio yang ditubuhkan pada 2007 itu telah mempunyai empat siaran frekuensi iaitu di Lembah Klang, Johor, Kuching dan Kota Kinabalu.
Azlan berkata pihaknya akan menerbitkan program baharu bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  dikenali SPRM ’360’ yang akan bersiaran setiap Sabtu mulai 22 Sept ini.
Program selama dua jam bermula 10 pagi itu akan menyampaikan mesej mengenai pendidikan antirasuah kepada masyarakat secara lebih meluas, katanya.
Sementara itu, Zulkefli berkata beliau yakin Bernama Radio akan terus bersiaran dengan memberi penerangan yang lebih efektif dan mempunyai idea-idea baharu yang inovatif supaya menjadikan stesen radio itu terus didengari dan diminati masyarakat.
"Kita juga berharap Radio Bernama terus berkembang dengan menjadi rakan kepada radio-radio nasional negara-negara ASEAN supaya maklumat dapat dicapai dengan lebih cepat," tambahnya.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment