Sunday 23 September 2018

Teh halia dan nasi lemak pengubat rindu

Haji Shamsudin bersama Izaz Khan

Cari teh halia dan nasi lemak sotong yang lama dirinduinya.
Itulah antara perkara awal yang akan dilakukan Haji Shamsudin Puteh selepas mendarat di KLIA malam esok setelah 42 hari berada di Tanah Suci.
“Perkara pertama yang ingin saya buat apabila tiba di KLIA ialah mencium cucu saya, Faihanah, yang genap berusia setahun hari ini,” katanya dalam perbualan menerusi Whatsapp petang ini.
Dari KLIA, beliau dan keluarga mungkin terus ke kawasan kediamannya di Sri Gombak dan singgah di Restoran Thaqwa yang ada menjual nasi lemak bungkus.
Kerinduannya terhadap tanahair yang begitu meruntun rasa dinukilkan beliau dalam catatan di Facebooknya hari ini.
“Kelibat hidangan nasi lemak, roti canai, lontong, nasi dagang, mihun dan mi goreng serta pelbagai jenis kuih-muih dan teh halia sering terlintas di ingatan.
“Tapi apa kan daya! Semuanya bayangan belaka.
“Kalau ada pun, rasanya tersasar jauh dari harapan.
“Seperkara yang pelik di sini, terutama di Makkah ialah roti canai atau nan dijual tanpa kuah.
“Kalau nak merasanya dengan dal atau kari, kenalah beli secara berasingan,” katanya.
Dalam perbualan WhatsApp, Haji Shamsudin berkata kepulangan ke tanah air akan mengubat rindu terhadap Malaysia yang  merupakan negara istimewa dan ibarat syurga makanan.
“Apa pun, paling utama dapat berada semula di tanah air sendiri,” katanya.
Beliau dan isteri Hajah Fauziah Md Saad serta 200 anggota jemaah Tabung Haji  akan ke lapangan terbang pada 12.10 tengah malam ini.
“Penerbangan kami pukul 6 pagi waktu Saudi dan dijangka tiba di KLIA pada 7.40 malam waktu Malaysia,” katanya yang menginap di Hotel Al Saha di Madinah.
Beliau sempat berkenalan dengan pengurus hotel itu, Izaz Khan yang mendoakan agar Haji Shamsudin dijemput lagi oleh Allah datang ke tanah suci.
“Kebetulan pula hari ini hari terakhir saya di tanah suci ini….dia gembira apabila saya mengucapkan selamat maju jaya kepada negaranya yang menyambut ulangtahun hari kebangsaan ke-88 hari ini,” kata Haji Shamsudin.
“Izaz kelihatan cukup bersemangat dengan sambutan itu dan beliau sendiri turut membuat hiasan di hotel ini termasuk memasang banner dan memastikan perabut serta lampu di lobi hotel berada dalam keadaan menarik,” katanya.
“Dia juga memastikan semua petugas memakai selempang khas sempena sambutan itu,” katanya.
Inilah antara pengalaman istimewa bagi Haji Shamsudin kerana walaupun tidak berpeluang menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di tanahair pada tahun ini, beliau dapat menyaksikan sambutan ulangtahun Arab Saudi.
“Ya…pengalaman itulah yang mahal dan pada hari terakhir di sini pula,” katanya.
Menurutnya, banyak pengalaman dan pengajaran berguna termasuk tentang kemanusiaan dan kenegaraan diperolehi selama berada di negara itu.
“Negara sendiri tetap istimewa. Antaranya kehijauan alam, sistem pentadbiran serta aktiviti ekonomi yang pelbagai sifatnya.
“Paling terasa, sistem pendidikan yang memberi penekanan kepada pembelajaran bahasa Inggeris membolehkan rakyat Malaysia mudah berkomunikasi dengan manusia daripada pelbagai negara.
“Di sini, tak ramai pegawai kerajaan dan rakyatnya boleh berbahasa Inggeris, jadi agak menyusahkan pengunjung yang tidak tahu berbahasa Arab.
“Saya hadapi banyak masalah dari segi ini….kalau tidak, banyak bahan boleh ditulis,” kata Haji Shamsudin yang saban hari membuat catatan di ruangan Facebooknya sejak tiba untuk menunaikan Haji di Tanah Suci.


No comments:

Post a Comment