Friday 21 September 2018

Datuk Zakaria dirai sempena hari lahir...


Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab, yang disambung perkhidmatannya selama tiga bulan, hari ini diraikan sempena hari lahirnya yang ke-61.
Katanya, beliau amat terharu dengan sambutan itu dan menganggap ia sebagai usaha meraikan silaturahim di kalangan warga Bernama.
Dalam ucapan ringkas, Datuk Zakaria, yang genap 61 tahun esok, turut memaklumkan mengenai panggilan telefon yang diterimanya daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia berhubung perkhidmatannya yang sepatutnya berakhir hari ini.
“Hari Rabu malam setelah pulang, saya mendapat panggilan daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyatakan perkhidmatan saya sebagai Ketua Pengarang disambung selama tiga bulan lagi,” katanya kepada hadirin termasuk Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang.
Pada Selasa, beliau telah mengumumkan akan bersara mulai Sabtu ini setelah berkhidmat selama 38 tahun dengan Bernama.
“Hari Jumaat ini hari akhir saya sebagai Ketua Pengarang,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat penyelarasan mingguan Bernama.
Pengumumannya itu telah dilaporkan dalam blog Bernamaians yang kemudiannya menjadi tular dan dipetik oleh beberapa pihak.
Datuk Zakaria berkata berita itu yang bermula sebagai berita dalaman telah ditular.  
“Saya tidak kisah kerana nak tengok ke mana ia pergi…berita yang tular sehingga ke seluruh negara.
“Adik ipar saya di Langkawi pun tahu, sedangkan dia tak tahu mengenai Bernamaians,” kata Datuk Zakaria.
Menurutnya, ia cara yang baik untuk melihat reaksi orang ramai.
“Ramai yang bagi ucapan selamat bersara.
“Saya dapat melihat bagaimana berita itu menular dan ini bukan fake news,,” katanya.
Datuk Zakaria dilantik sebagai Ketua Pengarang pada 9 Disember 2014 dan disambung kontrak setahun apabila bersara wajib pada tahun lepas.

No comments:

Post a Comment