Saturday 22 September 2018

Hampir 1,000 peserta jayakan 'Bernama Gembo-Gembo Run 2018'

Hampir 1,000 peserta menjayakan acara larian ‘Bernama Gembo-Gembo Run 2018’ yang julung kali dianjurkan oleh Bernama di Taman Botani Negara, Shah Alam pagi ini.
Acara larian sejauh lima kilometer itu yang bermula 7 pagi disertai pelbagai lapisan masyarakat dan dilepaskan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Zulkefli Salleh dan Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab.
Menurut Datuk Zakaria, acara ini  bertujuan mempromosikan  produk serta perkhidmatan Bernama kepada  masyarakat.
Beliau berkata sebelum ini, masyarakat sering melihat organisasi itu hanya sebagai penghasil berita serta berita bergambar semata-mata namun fungsi Bernama kini telah berkembang mencakupi pelbagai bidang perkhidmatan.
“Selain jualan berita kepada pelanggan yang kini turut disampaikan secara infografik, kita sebenarnya mempunyai pelbagai produk serta perkhidmatan lain yang masih banyak pihak tidak mengetahui.
“Bernama menawarkan khidmat pengurusan acara, khidmat perhubungan awam, percetakan buku seperti coffee table book selain khidmat promosi kepada mana-mana pihak yang ingin memperkenalkan produk mereka kepada umum,” kata Datuk Zakaria yang menyambut hari lahir ke-61 hari ini.
Katanya, Bernama juga mempunyai perkhidmatan  InfoLibNews, iaitu arkib penerangan dan maklumat yang ibarat ‘perpustakaan berita’ kerana menghimpunkan berita-berita lama daripada organisasi itu sendiri serta akhbar-akhbar utama tempatan bagi memudahkan mana-mana pihak membuat rujukan.
Tambah beliau, organisasi berita yang wujud sejak 51 tahun lepas itu juga sentiasa bergerak seiring dengan perkembangan teknologi dengan menggunakan platform multimedia bagi menyampaikan bahan-bahan beritanya.
“Disebabkan itu, Bernama anjurkan acara larian seperti ini supaya kita turun padang dan bawa produk-produk kita kepada masyarakat supaya mereka tahu, organisasi kita ada perkhidmatan lain selain penghasilan berita,” katanya.
Datuk Zakaria berkata larian tersebut dapat menjadi acara tahunan bagi mendekatkan lagi Bernama  dengan masyarakat.
Sempena larian itu, Jerayarawa Bernama yang dikenali sebagai Bernama Roadshow 2018 bertujuan mendekatkan agensi berita itu dengan orang ramai selain memperkenalkan produk dan perkhidmatannya turut diadakan.
Program kerjasama antara Jabatan Niaga, Bernama Radio dan Bernama News Channel itu bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-61 telah diadakan di lima lokasi sejak 29 Ogos.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment