Tuesday 4 September 2018

Penggabungan RTM-Bernama untuk tingkat kualiti, kata Gobind Singh Deo

Cadangan penggabungan Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bertujuan meningkatkan kualiti laporan berita dan program bual bicara mereka, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.
"Kita perlu meningkatkan mutu agensi berita tersebut (RTM and Bernama). Itu yang sedang saya usahakan dan saya harap kita akan dapat mengubahnya. Banyak yang telah dilakukan tetapi masih banyak lagi yang perlu dibuat,” katanya dalam temu bual dengan BFM Radio hari ini.
“Melihat kepada isi kandungan, jika anda mahukan kandungannya menyamai CNN atau BBC sebagai contoh, masalah itu perlu diselesaikan secara fizikal dan mekanisme perlu dicari untuk membolehkan wartawan dihantar keluar ke lokasi supaya mereka dapat menghantar berita dengan cepat, malah lebih cepat daripada para pesaing,” kata beliau.
Gobind menambah, penggabungan itu akan dapat meningkatkan produktiviti dalam penyebaran maklumat kepada rakyat, terutama mengenai agenda dan aspirasi kerajaan.
Julai lepas, Gobind berkata sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan untuk mengkaji secara mendalam cadangan penggabungan RTM dan Bernama, yang dianggotai oleh ahli-ahli daripada pelbagai latar belakang untuk mempertimbangkan cadangan penggabungan itu di bawah kementerian berkenaan.
Sambil menyifatkan penggabungan RTM dan Bernama sebagai satu hal yang rumit, beliau memberi jaminan bahawa semua aspek penting seperti jumlah tenaga kerja, kos dan saluran berita akan diteliti sepenuhnya sebelum apa-apa keputusan diambil.
“Persoalan yang timbul adalah mengenai petugas yang berlebihan, apa akan jadi kepada pekerja yang tugasnya sudah tiada lagi disebabkan penggabungan ini...sudah tentu kita akan meneliti perkara itu juga. Saya fikir pekerja yang berlebihan boleh ditempatkan di tempat lain, memandangkan ada jabatan-jabatan baharu yang sedang dibangunkan di RTM," kata beliau.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment