Friday 28 September 2018

Bernama Ikrar Bebas Rasuah...


Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Zulkefli Salleh mengetuai deklarasi dan majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah ketua-ketua jabatan Bernama di Wisma Bernama hari ini.
Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan timbalannya Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil turut hadir pada majlis di Pusat Kecemerlangan Bernama itu.
Mohd Shukri berkata SPRM menyahut seruan Perdana  Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar memerangi rasuah habis-habisan dan pesalah rasuah dikenakan hukuman lebih berat sekurang-kurangnya hukuman sebat.
“Rasuah boleh membawa kepada jenayah lain seperti kedatangan PATI (pendatang asing tanpa izin), kegiatan judi dan pelacuran.
“Seperti di China, mereka melaksanakan hukuman tembak mati kepada penjenayah yang mengamalkan rasuah.
“Namun, apa yang dicadangkan (hukuman mati) itu amat mustahil dilaksanakan. Ini kerana negara kita sedang dalam usaha untuk memansuhkan hukuman mati… kita boleh kenakan hukuman lain seperti sebatan,” katanya.
Pada Rabu, di London, Dr Mahathir berikrar bahawa kerajaan baharu Pakatan Harapan akan bertindak habis-habisan bagi memastikan pentadbiran baharu itu bebas dari gejala rasuah.
Beliau berkata  kerajaan dan anggota kabinetnya harus menjadi contoh terbaik dalam usaha memerangi rasuah.
Mohd Shukri juga berkata pemberian rasuah melalui pembelian barangan dalam talian (online) merupakan antara kegiatan jenayah rasuah yang sukar dikenal pasti.
“Pemberi rasuah akan membeli pelbagai barangan di web seperti Lazada dan Shoppee. Jika dah dibeli, barangan itu akan terus dihantar ke penerima suapan sebagai ganjaran.
“Dengan cara yang begitu, ia susah untuk dibuktikan sebagai rasuah,” katanya kepada pemberita selepas temu bual kemudian di Bernama Radio.
Mohd Shukri berkata selain pembelian dalam talian, ganjaran dalam bentuk kad kredit juga diamalkan.
“Sebagai contoh, pemberi rasuah akan memberi kad kredit untuk penerima membeli-belah dan seumpamanya.
“Contohnya penerima rasuah diberi kad kredit dengan had kredit sehingga RM50,000. Jikalau dah habis hadnya, individu itu akan diberi kredit tambahan untuk digunakan,” katanya.
Selain itu, Mohd Shukri menjelaskan penjenayah kini turut menggunakan akaun ‘proksi’ iaitu dengan menggunakan khidmat pemilik akaun bank yang kaya.
“Kita mengalami kesulitan apabila nak jejak salah laku jenayah rasuah dalam akaun terbabit kerana pemilik akaun memang orang kaya. Jadi orang kaya mempunyai banyak transaksi dalam akaun mereka,” jelasnya.
Apabila ditanya tentang keberkesanan undang-undang sedia ada di negara dalam membendung jenayah rasuah, Mohd Shukri berkata undang-undang di negara sudah memadai.
Apa yang penting, katanya SPRM perlu lebih bersedia dalam menangani jenayah rasuah dan salah guna kuasa kerana penjenayah sentiasa berfikir lebih ‘advance’ bagi melepaskan diri daripada perbuatan mereka.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment