Sunday 2 September 2018

Catatan di Bumbung Masjidil Haram


Daripada Haji Shamsudin Puteh di Makkah

Masjidil Haram tidak pernah sunyi daripada dikunjungi jemaah walaupun sedetik.
Datanglah pada masa mana sekalipun, tempat ini sentiasa hidup dengan nafas keimanan umat Islam dari seluruh alam.
Sejak pukul 2 pagi, aku berada di bangunan paling berkat dan ajaib di dunia ini, tempat terletaknya Kaabah.
Antara perkara yang tak mampu aku jelaskan dengan kata-kata ialah ketidakmampuanku menahan sebak dan air mata setiap kali mula menatap Kaabah.
Ketika hari mula membuka tabirnya selepas dini hari, aku datang lagi ke masjid ini untuk mencari jawapan itu.
Namun, tak juga aku temui.
Sebelum berkumandang azan subuh hari ini, sempat aku abadikan rangkap berikut sebagai coretan nubari insan yang lemah serba-serbi.

Doa Di Bumbung Keinsafan

Subuh di Masjidil Haram
kelopak iman mekar di taman hidayah
cahaya keinsafan tertumpah di wajah jemaah
yang bersimpuh di lantai kesyahduan

di sini
aku menghadapkan wajah diri
kepada Allah Yang Maha Penyayang
untuk mencurahkan kekesalan
atas keterlanjuran dan kejahilan
yang menodai laluan kehidupan
ketika mabuk di telaga keduniaan

Ya Allah
terimalah aku sebagai tetamu
yang datang dengan timbunan kesalahan
ampunilah dosaku
terimalah taubatku
sejahterakanlah hidupku
dalam naungan reda-Mu

--Shamsudin Puteh
Masjidil Haram

No comments:

Post a Comment