Saturday 15 September 2018

Salam Hari Malaysia dari Tanah Suci...


Penyunting Perkhidmatan Berita Dalam Negeri (PBDN) Haji Shamsudin Putih, yang berada di Makkah, menyampaikan ucapan selamat menyambut Hari Malaysia kepada semua pembaca blog Bernamaians.
“Saya mengambil kesempatan semasa berada di tanah suci ini untuk berdoa kepada Allah agar negara kita terus aman, makmur dan maju jaya dalam segenap bidang.  
“Bersempena sambutan Hari Malaysia 2018 esok, saya titipkan sebuah sajak untuk tatapan kita bersama, khususnya pembaca blog ini,” katanya.

POTRET SEORANG PEJUANG

Bapa Merdeka
menyusuri jejak riwayatmu
adalah menjelajahi daerah perjuangan
yang tunjangnya adalah keyakinan
sendinya adalah keberanian
dan senjatanya adalah kebijaksanaan
dalam merungkai belenggu penjajahan

siapalah yang dapat menafikan
jerih pengorbanan yang engkau curahkan
kata nista yang terpaksa kau telan
dalam merintis jalan kemenangan
namun
semangatmu tak pernah pudar
niatmu tak pernah tersasar
dan matlamatmu tak pernah bertukar
kerana yang kau impikan bukanlah kemasyhuran
tetapi kenikmatan sebuah kemerdekaan

Tunku
pada dirimu
kami temui ketulusan perjuangan
keluhuran kepimpinan
dan kemurnian perikemanusiaan
yang tidak mengenal batas keturunan
kepercayaan dan darjat kehidupan
dalam menegakkan keadilan dan keharmonian
di bumi warisan

SHAMSUDIN PUTEH

No comments:

Post a Comment