Tuesday 25 September 2018

Terubat rindu teh halia...


Hajat mendapatkan teh halia tarik dan nasi lemak sotong termakbul bagi Haji Shamsudin Puteh yang selamat kembali ke tanah air malam tadi dari mengerjakan Haji di Tanah Suci.
Beliau dan isteri Hajah Fauziah Md Saad serta 200 anggota jemaah Tabung Haji  tiba di KLIA pada 7.47 malam.
“Dari KLIA, saya terus ke Institut Jantung Negara (IJN) apabila mendapat tahu sepupu meninggal.
Alhamdulillah sempat tatap wajahnya sebelum jenazah dibawa pulang ke Jitra. Terharu apabila suaminya minta sangat-sangat memimpin doa untuk kebaikan siisteri.
Katanya untuk menumpang berkat orang yang baru tiba dari tanah suci.
Saya penuhi permintaannya. Lagi pun, Allahyarham adalah anak kepada emak saudara saya.
Selepas tu baru pekena nasi lemak sambal sotong dan teh halia seperti yang dihajati. Alhamdulillah!,” kata Haji Shamsudin pagi ini.
Beliau singgah di sebuah restoran di Taman Selaseh untuk menikmati makanan kegemarannya itu.
Hasrat untuk mencium cucunya Faihanah, yang genap berusia setahun semalam, apabila tiba di KLIA, bagi melepaskan rindu juga termakbul.
Dalam catatan di Facebook semalam berjodol “Nota Sebelum Berangkat”, Haji Shamsudin menyatakan detik berangkat semakin dekat setelah melalui 41 hari yang sungguh bererti di Tanah Suci.
“Sepanjang tempoh itu, setiap hari aku membuat catatan tentang apa yang dilalui sebagai rakaman pengalaman untuk tatapan anak cucu dan sesiapa saja yang sudi membacanya.
“Dari tembok di tepi bangunan, aku coretkannya sebagai koleksi peribadi.
“Maafkanlah jika ada yang tak kena atau menyinggung sesiapa.
“Itu bukan niatku sebenarnya dan sekadar itu sajalah kebolehanku,” katanya.



No comments:

Post a Comment