Monday 10 September 2018

Jemaah Semakin Kurang, Rindu Pula Bertandang



Haji Shamsudin Puteh mengutuskan salam Awal Muharram dari Makkah dengan catatan berikut:

Tempoh menunaikan ibadah haji sudah berakhir dan jemaah pun sudah pulang ke negara masing-masing secara berperingkat.
Jemaah yang menunaikan umrah juga semakin berkurangan, walaupun jumlah mereka yang melakukan tawaf kelihatan masih ramai pada waktu tertentu.
Kebanyakan mereka melakukan tawaf sunat barangkali.
Apabila melihat jemaah haji di hotel penginapan kami yang bersiap-siap untuk pulang ke tanah air, tersentuh juga perasaan.
Bukan apa!
Terasa cemburu kerana memikirkan bahawa berpeluanglah mereka kembali menikmati makanan Malaysia yang asli.
Di Makkah ini, walaupun terdapat makanan Malaysia seperti nasi lemak, nasi kerabu, bihun goreng dan roti canai, tetapi lain rasanya.
Tak ori, kata anak muda.
Malah, kadang-kadang amat mengecewakan.
Demikian jugalah yang disuarakan kepada saya oleh beberapa jemaah haji Malaysia di lobi hotel kami, Zuwar Albait, ini.
Ditanya adakah mereka serik untuk datang lagi, kata para haji itu, tidak sama sekali.
"Menunaikan haji dan umrah memberi suatu kepuasan luar biasa dan soal makanan tidak akan mengurangkan semangat saya untuk datang lagi ke sini", jelas seorang haji baru.
Bagi saya sendiri, setelah lebih tiga minggu berada jauh dari rumah, selain rindu kepada anak cucu, rindu kepada sambal tumis telur, gelama masin dan kari juga begitu terasa.
Hanya kesabaran menjadi penawar!

No comments:

Post a Comment