Saturday 22 September 2018

Madinah Semakin Meriah Dengan Ziarah

Daripada Haji Shamsudin Puteh

Musim umrah dan ziarah sudah bermula, walaupun mereka yang menunaikan haji belum semuanya pulang ke tanah air masing-masing.
Sejak seminggu lepas, jemaah dari merata negara membanjiri Madinah, khususnya di Masjid Nabawi.
Jangkaan kumpulan jemaah haji terakhir Malaysia bahawa mereka akan mudah mendapat peluang untuk memasuki Raudhah dan menziarahi makam Rasulullah kerana jemaah haji lain sudah kembali ke negara masing-masing, meleset sama sekali.
Malah, ramai yang terpaksa menunggu hingga lebih dua jam sebelum dapat menunaikan solat di "Taman Syurga" itu.
Alhamdulillah, walaupun sesak dengan jemaah sejak selesai solat fardu subuh tadi, sempat juga sekali lagi menziarahi makam Rasulullah serta Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar.
Seperti biasa, sebak dan air mata tak dapat ditahan apabila menziarahi tempat bersemadinya insan mulia itu.
Kepada saudara mara dan sahabat handai yang mengirimkan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad (SAW) serta dua sahabat baik baginda yang Allah beri jaminan syurga untuk mereka itu, Alhamdulillah, telah saya tunaikan seperti yang dipinta.
Semoga Allah juga merahmati kita dengan segala kebaikan di dunia dan akhirat. 
Semoga saudara semua di Jemput Allah untuk menziarahi tempat yang penuh keberkatan ini dengan berulang kali.
Sesungguhnya, Baitullah, Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan makam Rasulullah adalah antara destinasi pelancongan ibadah paling istimewa bagi kita.
Haji Shamsudin menghasilkan catatan berbentuk puisi sempena kunjungannya ke Masjid Nabawi di Madinah, sebuah tempat yang sungguh istimewa dan mempunyai erti mendalam bagi umat Islam.
"Malam esok, aku dijadual berlepas pulang ke tanah air, sebuah lagi tempat yang sangat istimewa bagiku.
Semoga kunjungan ini bukanlah yang terakhir sebelum dijemput menghadap Ilahi," katanya.

Coretan Di Pintu Keinsafan

Masjid Nabawi
pertama kali melihatmu
aku kehilangan kata-kata
lidah kelu didakap sayu
dada berombak menahan sebak
air bergenang di kelopak mata
dan pilu menerpa di kalbu
aku malu kepada-Mu ya Allah
kerana dengan dosa yang berdaki di jiwa
amal dan takwa tidak seberapa
Kau tetap sudi menjemput ku ke sini
tempat bersemadi insan mulia
rasul junjungan sekalian alam
pembimbing kami ke jalan kebenaran
Ya Allah
ampunilah hamba-Mu ini
yang sekian lama terlalai
dalam buaian keduniaan
penuh noda dan kepalsuan

--Shamsudin Puteh

No comments:

Post a Comment