Sunday 9 September 2018

Keajaiban Kaabah


Daripada Haji Shamsudin Puteh di Makkah

Setiap kali menunaikan solat, kita mengadap ke arah Kaabah.
Binaan yang menempatkan Hajarul Aswad itu menjadi qiblat umat Islam dari serata alam, sekali gus menjadi simbol kesatuan ummah.
Ada yang pernah menjejakkan kaki ke Masjidil Haram di mana terletaknya Kaabah, dan ada yang belum.
Bagi yang belum pernah hadir di depan Kaabah, tentu menyimpan cita-cita untuk sampai ke situ.
Percayalah! Binaan penuh berkat ini memiliki aura yang amat luar biasa.
Sesiapa yang memandangnya, pasti akan sebak dan mengalirkan air mata.
Walaupun sudah beberapa kali berada di depan Kaabah, perasaan demikian tetap melanda sanubariku.
Tak tahu kenapa.
Mungkin juga sayu dan terharu kerana mengenangkan bahawa walaupun banyak berdosa, Allah masih sudi menerimaku sebagai tetamu-Nya.
Selesai menunaikan umrah sebelum masuk waktu solat subuh hari ini, sempat merakam luahan hati dalam rangkap bahasa yang tidak sepertinya ini untuk diabadikan sebagai kenangan semasa di sini.


Di Hadapan Kaabah

Di hadapan Kaabah
air mata terasa mencurah
sayu bertamu di laman kalbu
keinsafan menguasai perasaan
betapa lemah dan hinanya aku
di hadapan Allah Yang Maha Pemurah

Dalam sebak memanjatkan doa
aku lafazkan kesyukuran
aku curahkan perasaan
serta memohon keampunan
daripada Pencipta segala kejadian
atas kemungkaran yang telah dilakukan
kerana kejahilan dan hasutan syaitan

--Shamsudin Puteh
Masjidil Haram

No comments:

Post a Comment