Wednesday 5 September 2018

Jerayawara Bernama di Jalan Bunus tampil kelainan..

‘Bernama Road Show 2018’ di hadapan ‘Semua House’ di Jalan Bunus 6 di ibu negara hari ini menampilkan kelainan dalam menarik pengunjung dengan mengadakan uji bakat penyampai radio dan pembaca berita Bernama.
Pengurus Kanan Bahagian Jualan Nasional Bernama Norena Yaacob berkata uji bakat itu yang diadakan sejak semalam bagi mengisi kekosongan kedua-dua jawatan berkenaan di Bernama diterima baik para pengunjung.
"Kelainan yang kita bawa hari ini adalah program uji bakat penyampai radio dan pembaca berita dalam empat bahasa iaitu bahasa Melayu, Mandarin, Tamil dan bahasa Inggeris. Penggunaan keempat-empat bahasa ini adalah kekuatan Bernama berbanding media lain yang ada di negara ini," katanya di lokasi jerayawara itu.
Menurut Norena, jerayawara yang julung kali diadakan tahun ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran umum mengenai pelbagai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan Bernama.
"Ramai yang tidak sedar Bernama ada menyediakan ruang pengiklanan pada laman web rasminya dengan jumlah pengunjung unik terkini seramai sembilan juta orang. Ianya banyak membantu syarikat-syarikat swasta dan kerajaan untuk mengiklankan produk mereka," katanya.
Jalan Bunus 6 merupakan satu daripada lapan lokasi ‘road show Bernama’ yang diadakan menerusi kerjasama Jabatan Niaga, Bernama Radio dan Bernama News Channel (BNC) serta diadakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2018.
Lokasi lain untuk program jelajah itu adalah pusat membeli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Lot 10 di Jalan Bukit Bintang, Dataran Medan Pasar dan Terminal Bersatu Selatan (TBS) yang merupakan tempat tumpuan orang ramai.
Lokasi terakhir adalah di Taman Botani Shah Alam bersempena dengan program larian Bernama Gembo-Gembo Run yang bakal diadakan pada 22 Sept ini.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment