Friday 7 September 2018

AKRAB Bernama jadi tanda aras



AKRAB Bernama menjadi pilihan untuk program lawatan benchmarking Jabatan Perangkaan yang dijangka pada 25 September ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Zulkefli Salleh, selaku Pengerusi AKRAB Bernama, dijadualkan memberi taklimat kepada para pelawat berkenaan.
Mereka akan dimaklumkan mengenai latar belakang Bernama dan peranan AKRAB Bernama yang dibentuk pada 2014.
Aktiviti dan projek serta pencapaian AKRAB Bernama akan juga dimaklumkan.
Lawatan ke Bilik AKRAB di tingkat 5 Wisma Bernama juga diatur bagi lawatan itu yang dijadualkan bermula 10 pagi.
Pemilihan AKRAB Bernama sebagai rujukan tanda aras bagi jabatan itu boleh dianggap sebagai pengiktirafan kepada peranan dan sumbangannya kepada organisasi.
Bernama adalah antara agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang mempunyai AKRAB, singkatan bagi Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam.
AKRAB Bernama pernah mengungguli kategori-kategori utama AKRAB peringkat KKMM termasuk Anugerah Gemilang sebagai organisasi contoh dalam mengaktifkan serta melaksanakan aktiviti-aktiviti AKRAB dengan berkesan.
Keakraban anggota-anggotanya serta kesungguhan mereka untuk melaksanakan aktiviti menjadi kunci kejayaan AKRAB Bernama.
Bagi menentukan kesinambungan peranannya, AKRAB Bernama telah mengenalpasti barisan peremajaannya, pada mesyuaratnya bulan lepas, untuk meneruskan objektif kumpulan sebagai rakan pembimbing perkhidmatan awam.
Senarai lapan orang “remaja” mewakili pelbagai jabatan dan bahagian di Bernama disenaraikan untuk membentuk pasukan yang berkesan.
Antara objektif AKRAB ialah menyediakan perkhidmatan bimbingan bagi membantu rakan sepejabat meningkatkan potensi dan kecemerlangan kerja.
Para petugas berprestasi rendah dengan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) di bawah 75 peratus akan dibantu berteraskan asas kaunseling dan kemahiran membimbing dengan mendengar masalah mereka.
Ini bagi membolehkan langkah diambil untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi petugas berkenaan.




No comments:

Post a Comment