Monday 12 February 2018

Jurufoto Bernama terima sumbangan Perdana Menteri

Jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Biro Negeri Sembilan, Mohd Hamzah Md Som yang diserang strok ringan, Disember lepas, menerima sumbangan peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sumbangan itu diserahkan Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Akmar Hisham Mokhles kepada Mohd Hamzah di rumahnya di Taman Kobena, Senawang di Seremban hari ini.
“Sumbangan ini yang disalurkan melalui Yayasan Sahabat Nasional (YSN) diharap  akan dapat meringankan beban perbelanjaan saudara Mohd Hamzah  sepanjang menjalani rawatan untuk pemulihan tangan dan kaki beliau," kata Akmar Hisham kepada pemberita.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif YSN Farah Haizum Manap dan Naib Ketua UMNO Bahagian Rasah Datuk Abdul Karim Mustafa.
Mohd Hamzah, 52, mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri  atas sumbangan tersebut.
Ditanya mengenai keadaannya kini, Mohd Hamzah berkata beliau beransur baik susulan pelbagai rawatan yang dilakukannya termasuk rawatan akupuntur dan mengurut.
“Selain menjalani rawatan fisioterapi di Hospital Tuanku Jaafar dan Klinik Kesihatan Senawang, saya turut membuat rawatan akupuntur dan mengurut. Keadaan saya ketika ini beransur baik dan saya sudah boleh berjalan tetapi perlahan-lahan dengan bertongkat," katanya yang menyertai Bernama pada 2006 setelah menamatkan perkhidmatannya dengan akhbar New Straits Times pada tahun 2005.
-- BERNAMA

Saturday 10 February 2018

Jenazah wartawan veteran Bernama selamat dikebumi...


Jenazah wartawan veteran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Zainal Abidin Bujal selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kota Damansara, Petaling Jaya kira-kira 3.15 petang ini.
Anggota keluarga dan rakan-rakan Allahyarham menghadiri pengebumian itu.
Allahyarham Zainal Abidin, 72, meninggal dunia kira-kira 10.30 malam tadi, di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat jangkitan paru-paru.
Jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Al-Hidayah yang terletak berhampiran kediamannya di Kelana Jaya.
Solat jenazah yang diimamkan Bilal 2 Masjid Al-Hidayah Shuhaymy Hassim turut disertai Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Bernama Datuk Mokhtar Hussain.
Isteri Allahyarham, Arfah Yussof, 70, berkata arwah suaminya menghidap leukimia dan telah menerima rawatan di PPUM selama 14 hari tetapi tidak sempat membuat rawatan kimoterapi kerana jangkitan di paru-parunya.
"Allahyarham peramah terhadap rakan setugasnya di Bernama serta suka bergurau senda dengan kanak-kanak," katanya.
Selain isterinya, Allahyarham meninggalkan seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan.
Editor Meja Foto Bernama Adnan Jahaya menyifatkan Zainal Abidin sebagai seorang periang, ceria, sederhana dan pekerja yang mudah untuk berbincang.
"Saya sudah kenal arwah sejak tahun 80-an dan saya lihat arwah ini kuat bekerja sehingga semasa sakit pun arwah bertanyakan kepada saya mengenai kerjanya," kata Adnan.
-- BERNAMA


Friday 9 February 2018

Apabila Presiden Jokowi menjadi wartawan...

Oleh Mohd Shukri Ishak
Bagaimana Presiden Indonesia Joko Widodo ‘menangani wartawan’ di Indonesia yang dilihat lebih bebas, liberal dan lantang dalam siaran medianya itu?
Ketika berucap pada majlis perasmian Hari Pers Nasional (HPN 2018) Indonesia di Padang, seperti kebiasaannya, beliau menjemput orang ramai untuk berinteraksi dengannya di pentas.
Kali ini, pemimpin Redaksi Majalah DOR dan Koran DOR, Yousri Nur Raja Agam mendapat peluang dan diberikan watak ‘presiden’ oleh Jokowi dan Jokowi mahu melakonkan watak sebagai wartawan.
"Sebagai wartawan, saya ingin bertanyakan.. apa media yang paling menyebalkan (menjengkelkan)," kata Jokowi yang ternyata membuatkan tetamu riuh rendah dalam menunggu jawapan dari "seorang presiden".
Yousri juga ternyata bijak menangani soalan presiden itu dengan menjawab media yang menjengkelkan ialah media yang ‘merdeka’ (bebas).
"Kenapa?," tanya Jokowi.
Yousri menjelaskan bahawa media tidak boleh terlalu bebas, kerana kebebasan dalam konteks apa pun, pasti mempunyai batas-batas tertentu.
Jokowi yang ternyata suka akan jawapan itu, menghadiahkan sebuah basikal kepada Yousri. Hadiah basikal diberikan Presiden Indonesia setiap kali berinteraksi dengan tetamu atau orang ramai ketika berucap.
Terdahulu ketika memulakan ucapannya, Jokowi turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan delegasi wartawan Malaysia yang turut hadir di HPN 2018.
Sambutan HPN yang disifatkan kedua terbesar selepas perayaan Aidilfitri di Indonesia itu turut dihadiri menteri Kabinet Indonesia, gabenor provinsi, duta, tokoh korporat dan lebih 6,000 pengamal media seluruh Indonesia, serta penglibatan penduduk setempat secara tidak langsung.
Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan delegasi wartawan dari Malaysia menerusi Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) yang diterajui Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh.
Industri media di Indonesia bermula pada 1937 menerusi penubuhan agensi berita ANTARA pada 13 Dis 1937, dan media di negara jajahan Belanda itu terus berkembang dan bercambah dalam menyalurkan aspirasi rakyat membangkitkan perjuangan kemerdekaan dan pengisian kemerdekaan.
Simbolik kepada penghargaan itu, tanggal 9 Feb diumumkan sebagai Hari Pers Nasional oleh Presiden Indonesia ketika itu, Presiden Soeharto pada 1985.
Kini, terdapat lebih 47,000 media di Indonesia, disifatkan sebagai negara terbesar memiliki jumlah media di dunia.
-- BERNAMA

Thursday 8 February 2018

Asro dilantik Ketua Iswami Indonesia...

Foto Bernama
Oleh Mohd Shukri Ishak
Bekas Pemimpin Umum agensi berita Antara, Asro Kamal Rokan dilantik sebagai Ketua Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) Indonesia yang baharu.        
Watikah lantikan itu disampaikan oleh Presiden  Iswami Datuk Zulkefli Salleh dan disaksikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.       
Asro menggantikan Allahyarham Mohamad Saiful Hadi Chalid, penasihat kanan agensi berita Antara yang meninggal dunia pada 26 Okt 2017.       
Asro turut mengucapkan terima kasih atas pelantikan itu dan yakin kerjasama pengamal media Malaysia dan Indonesia akan terus diperkukuh demi kepentingan bersama kedua-dua negara.        
Asro yang juga Anggota Dewan Kehormat Persatuan Wartawan Indonesia (PWI) berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan dan pernah menjadi pemimpin redaksi (ketua pengarang) Harian Republika sebelum  memimpin agensi berita Antara.
Lantikan Asro dibuat di Padang bersempena sambutan Hari Pers Indonesia (HPN) 2018 yang diadakan di wilayah yang terkenal dengan etnik Minangkabau dan masakan padang itu.        
HPN 2018 menghimpunkan lebih 6,000 para  pengamal media dari seluruh Indonesia yang dijadual dirasmikan Presiden Indonesia Joko Widodo pada esok.       
HPN 2018 dianjurkan bersama  pengamal media di Indonesia yang terdiri daripada PWI, Dewan Pers Indonesia, Serikat Penerbit Surat Kabar (SPS), Asosiasi Televisi Swasta Indonesia (ATVSI), Asosiasi Televisi Lokal Indonesia (ATVLI), Persatuan Radio Siaran Swasta Nasional Indonesia (PRSSNI), dan Persatuan Perusahaan Periklanan Indonesia (PPPI).        
Peneraju media Malaysia menerusi Iswami yang dipimpin oleh Zulkefli  yang juga Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia  turut diundang ke sambutan HPN 2018 itu.         
Salleh dan Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim turut diundang ke HPN 2018.       
-- BERNAMA

Wednesday 7 February 2018

Bernama Eratkan Hubungan Semenanjung dengan Sarawak,Sabah

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) memainkan peranan penting sebagai jambatan yang mengeratkan lagi perhubungan antara negeri-negeri di Semenanjung dengan Sarawak dan Sabah.
Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang berkata sejak penubuhannya lebih 50 tahun lalu, rakyat yang dipisahkan Laut China Selatan itu mendapat berita dan maklumat mengenai satu sama lain menerusi berita yang dihasilkan agensi berita Bernama.
"Satu daripada peranan Bernama yang sering diberikan tumpuan ialah fungsi sebagai jambatan berita yang menghubungkan Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung," katanya semasa menerima kunjungan delegasi Persatuan Wartawan Bahagian Kuching di Wisma Bernama hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Nor Faridah Abdul Rashid.
Delegasi seramai 15 orang itu disertai antaranya wakil daripada The Borneo Post, RTM, Utusan Borneo, KL Express, See Hua Daily dan Utusan Sarawak.
Pada pertemuan itu, Azman turut berkongsi pandangan mengenai cabaran serta masa depan industri media dalam zaman teknologi digital terutamanya untuk menarik kembali minat masyarakat terhadap media cetak.
Delegasi itu turut dimaklumkan mengenai perkembangan terkini Bernama yang telah memperluaskan sayapnya dengan menubuhkan beberapa unit baharu seperti Meja Multimedia dan terkini Meja Advertorial
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Jacqueline Nur Atiqah Abdullah berkata, media kini perlu memperbanyakkan berita berunsur kemanusiaan erana masyarakat jemu dengan berita berunsur politik.
Beliau turut menghargai peranan yang dimainkan Bernama dan berharap agensi itu dapat terus menyalurkan berita yang sahih dan terkini kepada masyarakat.
-- BERNAMA


Hari Pers Indonesia 2018 himpun 6,000 pengamal media...

Oleh Mohd Shukri Ishak
Berapa agaknya jumlah media di Indonesia, negara berpenduduk lebih 260 juta orang itu? 47,000 media!
Anggota Dewan Kehormat Persatuan Wartawan Indonesia (PWI) Asro Kamal Rokan berkata  jumlah itu menjadikan Indonesia sebagai negara paling banyak jumlah media di dunia.
Asro berkata  sebanyak  47,000  media direkodkan setakat ini,  dan  44,300 daripadanya adalah media dalam talian yang pesat bercambah di seluruh wilayah dan pelusuk Indonesia.
Bagaimanapun, daripada 44,300 media dalam talian itu, hanya  2,000 sahaja yang berdaftar dengan PWI dan Dewan Pers Indonesia, kata Asro yang juga bekas Pemimpin Umum agensi berita ANTARA.
Industri media di Indonesia bermula pada 1937 menerusi penubuhan agensi berita ANTARA pada 13 Dis 1937, dan media di negara jajahan Belanda itu terus berkembang dan bercambah dalam menyalurkan aspirasi rakyat membangkitkan perjuangan kemerdekaan dan pengisian kemerdekaan.
Simbolik kepada penghargaan itu, tanggal 9 Feb diumumkan sebagai Hari Pers Nasional (HPN) oleh Presiden Indonesia ketika itu, Presiden Soeharto pada 1985.
Menurut laman web rasmi HPN, sambutan yang didukung komponen media dan pemerintah itu diadakan secara bergantian di kota-kota di Indonesia, bagi membolehkan para peneraju media massa berhimpun dan membentangkan pelbagai usul berkaitan kepentingan mereka dan negara, selain turut diadakan pameran, konvensyen, majlis anugerah, program bakti sosial dan program hiburan.
Bagi 2018, HPN diadakan di  Padang, Sumatera Barat,  menghimpunkan lebih 6,000 para  pengamal media dari seluruh Indonesia yang dijadual dirasmikan Presiden Indonesia Joko Widodo.
HPN 2018 dianjurkan bersama  pengamal media di Indonesia yang terdiri daripada PWI, Dewan Pers Indonesia, Serikat Penerbit Surat Kabar (SPS), Asosiasi Televisi Swasta Indonesia (ATVSI), Asosiasi Televisi Lokal Indonesia (ATVLI), Persatuan Radio Siaran Swasta Nasional Indonesia (PRSSNI), dan Persatuan Perusahaan Periklanan Indonesia (PPPI).
Peneraju media Malaysia menerusi Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) yang diterajui Pengurus Besar Bernama, Datuk Zulkefli Salleh, turut diundang ke sambutan HPN itu.  Menteri  Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim turut diundang ke HPN 2018.
-- BERNAMA

Tuesday 6 February 2018

Draf Undang-undang Bendung Berita Palsu Dibentang Masa Terdekat

Draf undang-undang baharu untuk membendung berita palsu diharap akan dapat dibentangkan kepada Kabinet dalam masa terdekat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata ini bagi membolehkan perbincangan lebih terperinci dilakukan termasuk melibatkan kajian terhadap aspek hukuman atau bayaran pampasan.
"Mungkin menteri-menteri kabinet akan ada pandangan sendiri...mungkin daripada segi dasar kerajaan mahu buat pengkhususan dalam aspek hukuman atau dalam aspek bayaran pampasan, itu semua kita kena kaji.
"Sebaik kita dapat konsensus dalam Kabinet, saya berharap kita boleh bawa undang-undang baharu ini ke sesi Parlimen akan datang," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Akaun Amanah Bantuan Guaman di Shah Alam hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman (JBG) Datuk Haini Hassan.
Pada 30 Jan lepas, Azalina mengumumkan bahawa kerajaan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji undang-undang baharu untuk membendung berita palsu yang boleh mengancam kestabilan politik, menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.
Beliau dilaporkan berkata langkah baharu untuk menangani penularan berita palsu perlu diambil supaya orang ramai lebih bertanggungjawab dalam menghasilkan, menyebarkan dan berkongsi berita tidak sahih serta memastikan keselamatan negara terus dipelihara.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, jawatankuasa khas tersebut akan mengadakan mesyuarat teknikal kedua esok bagi melihat cara draf undang-undang baharu berkenaan dibaca bersama akta-akta berkaitan sedia ada.
"Besok, dalam mesyuarat teknikal itu, wakil-wakil dari agensi berkaitan termasuk dari Jabatan Peguam Negara akan lihat undang-undang sedia ada. Undang-undang baharu ini ada sikit dalam Kanun Keseksaan, ada sedikit di bawah Akta Jenayah Komputer 1997 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Undang-undang baharu ini tidak ada definisi tertentu serta tiada pendekatan yang lebih fokus. Ini kerana berita palsu tidak semestinya melibatkan individu, kadang-kadang ia melibatkan institusi dan tidak semestinya berita atau maklumat palsu itu dari dalam negara, ia boleh datang dari luar negara. Jadi macam-macam kita kena tengok intipati (draf)," katanya.
-- BERNAMA

Monday 5 February 2018

Anugerah Media Pembinaan CIDB 2018 tawar hadiah RM90,000...

Pengamal media tempatan sekali lagi berpeluang merebut hadiah keseluruhan berjumlah RM90,000, yang ditawarkan menerusi Anugerah Media Pembinaan (AMP) Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) 2018.
Anugerah dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya (JKR) itu, adalah sebagai mengiktiraf usaha wartawan dan jurugambar yang komited membuat liputan berkaitan sektor pembinaan.
Menurut kenyataan CIDB hari ini, sebanyak tiga anugerah bakal menjadi rebutan iaitu Anugerah Media Cetak (Berita dan Rencana), Anugerah Media Elektronik dan Siaran Dalam Talian (Berita dan Dokumentari) dan Anugerah Fotografi.
Wang tunai sebanyak RM5,000 ditawarkan untuk pemenang pertama, RM3,000 (kedua) dan RM2,000 (ketiga) selain sijil penghargaan serta trofi bagi setiap kategori.
Mereka yang ingin menyertai pertandingan ini perlu menghantar karya yang disiarkan dan diterbitkan  dari  31 Julai 2017 sehingga 30 Jun 2018, kepada Institut Akhbar Malaysia (MPI), selewat-lewatnya pada 30 Julai 2018.
Setiap karya perlulah berkisar isu sektor pembinaan sebagaimana terdapat dalam empat teras strategik Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016-2020,iaitu Kualiti, Keselamatan dan Profesionalisme; Kemampanan Alam Sekitar; Produktiviti serta Pengantarabangsaaan.
Menurut kenyataan itu lagi, penyertaan terbuka kepada warga Malaysia yang berkhidmat sebagai wartawan dan jurugambar sepenuh masa dengan organisasi media cetak, elektronik dan portal media yang diiktiraf Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Maklumat lanjut dan borang penyertaan boleh diperolehi di www.mpi.my dan www.cidb.gov.my.
-- BERNAMA     

Sunday 4 February 2018

Pihak berkepentingan akan dipanggil bantu bincang masalah berita palsu

Lebih banyak pihak berkepentingan akan dipanggil bagi membantu membincangkan masalah akaun media sosial palsu yang diwujudkan untuk menyebarkan pelbagai kandungan palsu dan jelik yang boleh memberi kesan buruk terhadap  ekonomi,  sosial dan keselamatan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata jawatankuasa khas bagi mengkaji undang-undang berita palsu telah mengadakan mesyuarat pertama dan telah berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan perkara itu.
Katanya pihak berkepentingan itu akan melibatkan badan bukan kerajaan, peguam, pensyarah mahupun anggota-anggota parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.
"Saya tidak mahu menjemput mereka yang dalam mesyuarat cakap lain, di luar mesyuarat cakap lain. Saya tidak mahu jemput mereka yang belum lagi mesyuarat sudah tuduh macam-macam.
Saya mahu menjemput terutama sekali anggota parlimen BN dan pembangkang yang memang melihat bahawa ini adalah satu masalah besar, masalah keselamatan negara yang mana berita palsu ini boleh mengancam negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jelajah Pengerang 2018 di Kota Tinggi hari ini.
​​​​​​​Azalina yang juga Anggota Parlimen Pengerang berkata sebagai kerajaan, BN boleh membuat draf undang-undang tanpa perlu berbincang dalam jawatankuasa.
"Kita ada kuasa penuh, tidak adanya mana-mana tertulis dalam perlembagaan semua perbincangan mesti ada jawatankuasa parlimen.
Yang kita buat ini ialah hanya menunjukkan bahawa ihsan Perdana Menteri untuk mengambil pandangan daripada semua pihak-pihak yang berkenaan untuk membantu," katanya.
-- BERNAMA

Saturday 3 February 2018

Usaha Bendung Berita Palsu Bukan Sebab Musim Pilihan Raya, kata Salleh

Langkah kerajaan mengkaji undang-undang baharu bagi membendung berita palsu bukan disebabkan musim pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sebaliknya sudah difikirkan sejak lama, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Beliau berkata langkah menangani penularan berita palsu amat tepat memandangkan penyebaran berita sedemikian boleh menjejaskan keselamatan negara, keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
"Tidak sama sekali, tidak ada kaitan (dengan musim PRU14). Memang sejak dahulu lagi kita (kerajaan) telah memikirkan perkara ini (langkah mengkaji undang-undang membendung berita palsu).
Memang kita ada beberapa undang-undang sekarang ini seperti Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Hasutan, tetapi apabila mengenai berita palsu, ia boleh jejaskan keselamatan negara, maka, penting bagi kita ada undang-undang khusus berkaitan," katanya kepada pemberita selepas melawat GegaRia Fest 2018 di Angsana Johor Bahru Mall hari ini.
Salleh berkata seperti yang diketahui umum, penularan berita palsu berleluasa di seluruh dunia dan banyak negara sudah mengambil tindakan sewajarnya dalam menangani hal tersebut.
Salleh berkata jika penularan berita palsu tidak dikawal, sudah tentu ia akan merugikan negara dan rakyat malah setiap individu sepatutnya menggunakan media sosial secara positif seperti meningkatkan rangkaian sosial atau pendapatan ekonomi.
"Kerajaan mengambil keputusan untuk tubuh jawatankuasa khas bagi mengkaji undang-undang baharu untuk membendung berita palsu itu yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.
Kita di Malaysia pun banyak yang menjadi mangsa akibat berita palsu, sebab itu kerajaan ingin mewujudkan satu akta khusus untuk berita palsu ini yang diharapkan dapat dibentangkan di Parlimen pada sidang akan datang," katanya.
Menurut Salleh, pelan cadangan undang-undang tersebut dijangka dibentangkan Azalina pada mesyuarat kabinet akan datang untuk diteliti.
Mengikut rekod, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menerima 1,203 aduan berkenaan berita palsu dan kandungan palsu sepanjang tahun lepas manakala lebih 1,800 laman web, portal dan blog telah disekat dalam tempoh sama kerana menyebar kandungan yang mengelirukan serta boleh menjejaskan suasana harmoni di kalangan masyarakat berbilang kaum, katanya.
Portal sebenarnya.my yang dibangunkan SKMM sebagai pusat rujukan kesahihan berita tular pula merekodkan 15 juta pelawat sejak dilancar Mac tahun lepas.
--BERNAMA



Thursday 1 February 2018

Undang-undang kekang berita palsu perlu segera diwujudkan, kata Mustapa

Undang-undang bagi mengekang berita palsu perlu segera diwujudkan bagi membendung tindakan pihak tertentu yang cuba menggugat keamanan dan keharmonian negara ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata undang-undang ini seharusnya sudah lama diwujudkan supaya masyarakat menjadi lebih bertanggungjawab dan tidak mudah menyebarkan sebarang maklumat yang tidak tepat. 
"Berita  palsu juga  boleh meruntuhkan ekonomi, kewangan serta menjejaskan hubungan baik Malaysia dengan negara lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pemukiman Pemimpin Mahasiswa Kelantan 1Malaysia di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok hari ini.
Ahad lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan mengkaji perkara itu kerana rakyat boleh terpesong sehingga melakukan sesuatu seperti merusuh disebabkan terpengaruh dengan berita palsu.
Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata berita palsu termasuk melalui media sosial boleh mempengaruhi dan menghakis keyakinan terhadap institusi kerajaan seperti yang pernah berlaku kononnya Tabung Haji menghadapi masalah kewangan yang ternyata tidak benar.
"Kita tidak menyekat kebebasan bersuara tetapi untuk menentukan keadilan supaya tidak ada mana-mana pihak dianiaya dan tidak ada gunanya kita mengambil tindakan setelah keadaan sudah menjadi mudarat," katanya.
-- BERNAMA