Monday 24 September 2018

Minat untuk terus adakan Bernama Gembo-Gembo Run...


Kejayaan Bernama Gembo-Gembo Run 2018, yang julung kali dianjurkan Sabtu lepas, terus diperkatakan hari ini dengan harapan ia akan menjadi acara tahunan.
Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab berkata beliau amat berpuas hati dengan penyertaan orang ramai terutama para petugas Bernama yang ada antara mereka menjadikan acara itu sebagai aktiviti keluarga.
“Ramai yang datang dengan anak-anak dan saya sendiri begitu gembira berlari dalam acara itu…mungkin kerana ia adalah hari lahir saya,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat penyelarasan mingguan Bernama petang ini.
“Sepertimana yang saya nyatakan semasa ditemuramah hari itu, elok jika acara tersebut diadakan setiap tahun,” kata Datuk Zakaria.
Beliau menyatakan penghargaan kepada pasukan Pemasaran Foto di bawah pimpinan pengurusnya, Farhan Mustafa yang telah mengendalikan acara itu bagi meningkatkan penjenamaan Bernama.
Tempat acara itu penuh dengan peserta yang mencecah 1,000 orang, kata Datuk Zakaria mengenai sambutan menggalakkan untuk larian itu.
Acara berlangsung di Taman Botani Negara, Shah Alam.
Farhan, yang hadir pada mesyuarat itu, berkata acara berkenaan dianjurkan tanpa mendapat bajet daripada Bernama tetapi dibiayai daripada kerjasama dengan rakan-rakan strategik.
“Saya sudah menerima dua, tiga panggilan yang berminat untuk sama-sama mengendalikan program ini,” katanya.







No comments:

Post a Comment