Friday 28 September 2018

Lega bertemu SJ...


Pengurus Hal Ehwal Semasa Bernama News Channel (BNC) Saudara Letfee Ahmad lega dapat bertemu Datuk Syed Jamil Jaafar setelah mengetahui mantan Pengurus Besar itu dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN).
Beliau melawat Datuk Syed Jamil selama sejam sebelum solat Jumaat hari ini.
“Saya mendapat tahu beliau dimasukkan ke IJN setelah membaca blog ini semalam,” katanya.
“Alhamdulillah…Tadi saya tengok dia seperti kita yang sihat.
“Tiada gaya seperti orang sakit,” katanya.
Letfee berkata Datuk Syed Jamil memberitahunya bahawa beliau mempunyai tiga bahagian yang tersumbat dan menunggu keputusan untuk dibedah.
“Saya terkesan apabila beliau kata, sebagai orang Islam, beliau menerima ini sebagai takdir Allah,” kata Letfee.
“Dia cuma kecewa tak sempat attend makan otai (di Wisma Bernama semalam),” katanya.
Letfee berkata beliau tergerak hati untuk melawat Datuk Syed Jamil kerana “SJ bukan sahaja bos tetapi sebagai rakan yang tidak ada sempadan, tidak ada protokol”.
Beliau teringat kali pertama berkomunikasi dengan Datuk Syed Jamil setelah berminat membawa para pelajarnya melawat Bernama Radio24 (namanya ketika itu).
Letfee tertarik kepada stesen radio itu setelah pertama kali mendengar siaran pada hari pelancarannya 3 September 2007 ketika memandu ke tempat kerja.
"Saya dahulu mengikuti RIMA (Radio Irama Melayu Asli) pada saluran 93.9 tetapi berasa hairan kerana tidak ada lagu seperti biasa pada hari itu.
"Saya kemudian dengar nama Bernama Radio24 dan terus menjadi pendengar setia kerana  siarannya yang dipenuhi berita dan maklumat mempunyai kredibiliti.
“Setelah mengikuti siaran itu beberapa bulan, saya menghantar emel kepada Datuk Syed Jamil yang ketika itu menjadi Pengarah Bernama Radio24 untuk membawa para pelajar melawat stesen radio tersebut,” kata Letfee yang waktu itu mengajar di Limkokwing University.
“Saya hantar emel pada pukul 5 petang menyatakan hasrat itu…pagi esoknya saya mendapat jawapan daripada beliau menyatakan penghargaan terhadap minat untuk melawat stesen radio itu.
“Katanya beliau telah berbincang dengan Pengurus Operasi Openg Onn dan meminta saya berhubung dengan saudara Openg,” kata Letfee yang kemudiannya ditawarkan bekerja dengan Bernama Radio24.
Letfee berkata beliau banyak belajar mengenai penyuntingan (editing)  daripada Datuk Syed Jamil yang memang handal dalam bidang itu.
“Saya akan sentiasa ingat kata-katanya bahawa kenapa harus menyebut sejarah lampau sedangkan sejarah itu memang dah lampau,” kata Letfee.
Beliau juga kerap merujuk kepada Datuk Syed Jamil aspek sebutan satu-satu perkataan terutama dalam bahasa Inggeris kerana sebutan adalah penting bagi siaran radio.



No comments:

Post a Comment