Monday 10 September 2018

Membina kerjaya dan keluarga dengan Bernama...

Foto Hasnita Ibrahim
Setelah hampir 10 tahun berkhidmat dengan Bernama, perasaan sayangnya terhadap pertubuhan ini amat mendalam.
Bernama bukan sahaja tempat mencari rezeki bagi Pembantu Tadbir Pusat Maklumat dan Perpustakaan Berita (InfoLibNews) Mohd Tadzman Utuh Tang tetapi di sini jugalah beliau bertemu jodoh.
Cinta yang disemai antara Tadzman dan Faridah al Akmal Mohd Salleh dari Unit Audit Dalam membawa ke jinjang pelamin tujuh tahun lepas.
Mereka kini dikurniai tiga orang anak -- Thaqif Fawwaz, 5, Thohiroh Faqiha, 3 dan Tawfiq Faheem, 1.
Dikenali sebagai seorang yang kreatif dan rajin membantu, Tadzman, 34, diumumkan sebagai petugas terbaik bagi Jabatan Sumber Manusia dan Pentadbiran pada Perhimpunan Bulanan Bernama Selasa lepas.
“Alhamdulillah, syukur...gembira!! …Terima kasih Bernama,” katanya mengenai anugerah itu yang diterimanya daripada Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Zulkefli Salleh.
“Ini semua atas doa emak, ayah, keluarga, bos dan rakan-rakan,” kata anak kelahiran Kudat, Sabah itu.
Tadzman berharap untuk terus memberi khidmat terbaik kepada Bernama, satu-satunya tempat kerjanya.
“Saya bangga menjadi sebahagian daripada keluarga Bernama dan bersyukur kekal dengan Bernama hampir 10 tahun (sejak November 2008),” katanya.
Dari petugas sambilan di InfoLibNews selama setahun antara Februari 2007 hingga Februari 2008, beliau diambil sebagai pekerja kontrak di Bernama TV sehingga ditawarkan kerja tetap di InfoLibNews pada November 2008.
Katanya, beliau terharu mendapat tawaran bekerja dengan Bernama kerana selain ia sebuah agensi kerajaan, beliau selalu membaca berita di suratkhabar yang mepunyai kredit "Bernama".
“Saya terharu kerana ia satu-satunya resume yang saya hantar…Alhamdulillah dapat,” kata Tadzman yang datang ke Kuala Lumpur pada Mei 2002 untuk melanjutkan pelajaran peringkat diploma dalam bidang teknologi maklumat.
Bertugas di Unit Rujukan InfoLibNews, beliau seorang yang kreatif dan boleh merekabentuk poster dan bahan pameran yang diadakan dari semasa ke semasa mengikut peristiwa penting di Malaysia dan pelbagai bahan promosi di InfoLibNews.
Di samping itu, beliau bertanggungjawab mengemaskini maklumat dalam Laman Web dan blog InfoLibNews serta membantu tugas rujukan.
Tadzman juga mengetuai pasukan Multimedia InfoLibNews.
Antara aktiviti pasukan itu ialah mengadakan Photobooth semasa aktiviti di Bernama dan aktiviti BLIS di lokasi pelanggan, photoinsta, video promosi aktiviti InfoLibNews termasuk hari raya  dan merakam foto serta video secara terus dan untuk simpanan semasa aktiviti  InfoLibNews.


No comments:

Post a Comment