Monday 17 September 2018

Gandingan lama dan baharu mantapkan AKRAB Bernama

Mengharungi lautan dan perjalanan lebuhraya beratus-ratus kilometer, para peserta kursus AKRAB Bernama, yang diadakan di Pulau Langkawi, selamat kembali ke Wisma Bernama awal hari ini.
Setelah bersama-sama menimba ilmu dalam bilik kursus dan berkongsi pula perjalanan dengan feri dan bas itu memberikan kesempatan bagi mereka untuk lebih mengenali serta memantapkan semangat berpasukan.
Apatah lagi, inilah kali pertama anggota lama dan pelapis AKRAB Bernama menyertai kursus bersama.  
Seramai 30 peserta termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Zulkefli Salleh yang juga Pengerusi AKRAB Bernama menghadiri Kursus Pemantapan Kepimpinan AKRAB Bernama dan Kursus Peningkatan Psikologi Personel 2018 di Institut Pengurusan Peladang Langkawi, Pulau Langkawi itu dari 14 hingga 16 Sept.
Gandingan lama dan baharu ini amat diperlukan bagi membawa kejayaan sebagaimana dinyatakan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam wawancara mengenai masyarakat berumur (aging population) yang disiarkan oleh Bernama News Channel dua hari lepas.
“Orang lama mempunyai pengalaman (manakala) orang muda mempunyai hasrat unggul (ideals). Untuk berjaya, perlu ada gabungan dua aset ini – yang lama dengan pengalaman dan yang muda dengan hasrat unggul,” kata beliau.
Antara tujuh anggota pelapis yang menghadiri kursus itu ialah Pegawai Berita, Zarul Effendi Razali dari Perkhidmatan Berita Ekonomi, yang baharu kembali dari Tanah Suci setelah membuat liputan Haji.
Bagi anggota-anggota pelapis lain pula seperti Pengurus Sumber Manusia Mariati Mohd Arif, kursus itu merupakan lanjutan kepada Program Pra-Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) Tahap 1 yang mereka hadiri di Putrajaya dari 4 hingga 6 Sept lepas.
“Alhamdulillah selesai kursus di Langkawi….ada kursus lagi yang kena hadir sebelum ditauliahkan sebagai ahli AKRAB,” kata Mariati.
Menurutnya, beliau memperolehi ilmu dan pengalaman yang sangat berguna  semasa kursus itu seperti mengetahui dan mendalami teknik SEFT (Spiritual, Emotional, Freedom, Technique) yang dapat dijadikan mekanisme bagi meningkatkan kesejahteraan psikologi personel.
SEFT merupakan satu kaedah membebaskan dan merawat diri sendiri atau orang lain dari penyakit fizikal dan mental dengan cara ‘tapping pressure points’ di badan kita.
“Saya bangga mendapat peluang untuk menjadi ahli AKRAB sebab dapat membantu dan membimbing mereka yang mempunyai apa jua kemusykilan dan masalah selain mengembali semula dan meningkatkan keyakinan  diri seseorang.
“Kursus ini sangat membantu sebagai persediaan menjadi ahli AKRAB. Ia bukan saja berguna untuk kita apply  kepada orang lain yang memerlukan bantuan malah untuk diri kita sendiri.
Mariati berkata beliau tertarik untuk menjadi anggota AKRAB kerana ia berkait rapat dengan tugasnya di Jabatan Sumber Manusia yang berurusan dengan manusia.
“Banyak perkara atau isu permasalahan boleh dibimbing cara terbaik dan praktikal sebelum sesuatu keputusan diambil oleh seseorang,” katanya.
Penolong Pegawai Tadbir Jabatan Sumber Manusia dan Pentadbiran Suhendri Mohd Daud juga berasa sangat bersyukur ke hadrat Ilahi dan berasa bertuah kerana diberi peluang mengikuti kursus berkenaan.
“Kursus ini sangat bermanfaat kerana ilmu yang diperolehi dapat membentuk jati diri dan mengenali diri sendiri dengan cara yang amat hebat dan unik.
“Justeru itu, pastinya akan mendekatkan diri dengan Allah s.w.t dengan amalan-amalan yang diajar.
“Selain itu, saya dapat mengamalkan ilmu yang diperolehi dari kursus ini dengan memperbaiki kelemahan diri sendiri dan InsyaAllah dapat membantu rakan/ petugas, ahli keluarga dan semestinya orang yang memerlukan,” katanya.
Suhendri berkata kursus itu amat membantu dalam menjadi seorang anggota AKRAB kerana ilmu yang dipelajari dapat diaplikasikan dalam proses sebelum, ketika dan selepas berjumpa pelanggan/ petugas yang bermasalah.
“InsyaAllah semua masalah akan dapat diselesaikan dengan izin dari-Nya,” kata beliau.
“Antara sebab yang menarik minat saya untuk menyertai AKRAB kerana ini satu cara saya boleh berdakwah memandangkan ajaran Islam itu amatlah sempurna dalam menyelesaikan semua masalah.
“Selain itu, dengan membantu orang yang memerlukan secara tidak langsung itu adalah salah satu sedekah yang boleh kita amalkan.
“Apa yang saya lebih suka untuk menyertai AKRAB ini, banyak ilmu , ajaran dan amalan yang merasakan saya perlu memperbetulkan diri sendiri terlebih dahulu sebelum saya membantu orang lain,” kata Suhendri.
Seorang lagi pelapis, Pegawai Berita Perkhidmatan Berita Dalam Negeri (PBDN) Sharifah Hunaini Syed Ismail berkata ilmu yang diperolehi daripada kursus itu sangat bermanfaat untuk diri sendiri, keluarga, kawan-kawan dan orang sekeliling.
“Dengan adanya ilmu SEFT, saya rasa lebih yakin nak bantu orang dalam cara yang betul, ada guidance..sebab SEFT ajar kita kenal pasti masalah dan bagaimana nak menanganinya dengan cara yang betul,” katanya.
Group ini paling best..kami dari department lain-lain tapi di sana dapat saling mengenali, dah macam kawan lama,” katanya.
“Lepas ini tak sabar nak join kursus AKRAB lagi, nak menerokai ilmu-ilmu baharu yang boleh menjadi panduan untuk saya bantu rakan-rakan di Bernama, juga orang sekeliling, keluarga dan diri saya sendiri,” katanya.
Pegawai Tadbir Pengurusan Harta dan Pentadbiran Shahrul Azim Rambli pula menyatakan bahawa peluang menyertai kursus itu  merupakan pengalaman yang sukar untuk dicari.
“Penuh dengan ilmu kerohanian dan juga sains.
“Saya mempelajari bahawa minda manusia ini mempuanyai satu keajaiban yang luar biasa…hanya dengan minda yang positif yakni jika kita dapat mengawal dan belajar cara untuk mengawalnya secara advance kita boleh mengecapi apa sahaja keinginan kita malah boleh untuk menjadi ubat dalam penyakit dan permasalahan yang dihadapi,” katanya.
Pengurus Sistem Pengurusan Kualiti, Khairul Annuar Abdul Majid, yang mengendalikan kursus itu selaku Timbalan Pengerusi Biro Latihan dan Sosial AKRAB Bernama,  menyatakan penghargaan kepada semua yang terlibat.
"Alhamdulillah pada keseluruhannya saya berpuashati dengan kerjasama dan komitmen yang diberikan oleh para peserta, konsultan, urusetia serta semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak dalam menjayakan kursus ini,” katanya.
Beliau berkata para pelapis daripada pelbagai unit, bahagian dan jabatan telah menunjukkan sikap yang positif, komited dan sentiasa aktif dalam setiap sesi  dan aktiviti yang dijalankan.
“Mereka perlu mengikuti beberapa siri kursus wajib, kursus lain yang berkaitan dan menduduki ujian yang dikendalikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam sebelum ditauliahkan sebagai ahli AKRAB,” katanya.

No comments:

Post a Comment