Saturday 1 September 2018

Terlepas peluang keemasan rangkul emas....

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
Malaysia terus kempunan menamatkan penantian 60 tahun merangkul pingat emas sulung acara hoki lelaki selepas tewas 1-3 kepada Jepun dalam penentuan pukulan penalti pada final Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 di Stadium Hoki Gelora Bung Karno, Jakarta malam ini.
Lebih menyedihkan, kekalahan itu dialami selepas skuad negara mendahului 5-2 sebelum aksi masa penuh tamat dengan keputusan 6-6.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia terlepas peluang layak secara automatik ke temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Rakyat Malaysia di tanah air turut menyaksikan perlawanan itu yang disiarkan secara langsung dan mengharapkan kemenangan akan menambah keriangan sambutan Hari Kebangsaan ke-61 yang diraikan semalam.
Ini merupakan kali kedua skuad yang diberi jolokan ‘Malaysia Tigers’ mensia-siakan peluang keemasan untuk melakar sejarah selepas turut kecundang di peringkat yang sama pada edisi 2010 di Guangzhou, China.
Turun selaku pasukan pilihan selepas menumbangkan jaguh Asia, India pada peringkat separuh akhir, skuad kendalian Stephen Van Huizen itu yang menduduki ranking ke-12 dunia ternyata berada dalam kelas tersendiri selepas cemerlang mendahului 4-1 pada dua suku pertama perlawanan.
Bagaimanapun, selepas Malaysia melebarkan jurang kedudukan kepada 5-2, Jepun yang menduduki ranking ke-16 dunia, berjaya menghukum kealpaan pertahanan negara dengan menjaringkan tiga gol untuk mengikat kedudukan menjadi 5-5.
Malaysia kemudian semakin hampir untuk dinobatkan sebagai pemenang pingat emas selepas berjaya menjaringkan gol keenam di penghujung permainan, namun Jepun tidak menyerah kalah.
Berbaki hanya 20 saat menuju wisel penamat, Jepun sekali lagi menyamakan kedudukan dan sekali gus mengheret perlawanan ke penentuan pukulan penalti.
Pada aksi penentuan pukulan penalti itu, Malaysia yang semakin tertekan gagal menjaringkan tiga pukulan menerusi Faizal Saari, Meor Muhammad Azuan Hasan dan Tengku Ahmad Tengku Abdul Jalil  sekali gus memberikan kejayaan merangkul pingat emas sulung kepada Jepun.
Tiga daripada enam gol Malaysia dalam masa sebenar perlawanan hadir menerusi dua jaringan padang (minit ke-11 dan 12) serta satu jaringan pukulan sudut penalti minit ke-59 oleh Tengku Ahmad Tajuddin .
Tiga lagi disumbangkan Muhammad Razie Abd Rahim dan Faizal melalui jaringan pukulan sudut penalti masing-masing pada minit keempat dan ke-17 diikuti jaringan padang oleh Muhammad Amirol Mohd Arshad pada minit ke-50.
Enam gol Jepun pula dihasilkan menerusi empat jaringan padang oleh Seren Tanaka minit kesembilan, Kenta Tanaka (minit ke-23), Kaito Tanaka (minit ke-52) dan Koji Yamasaki (minit ke-58) diikuti dua gol pukulan sudut penalti oleh Kenta (minit ke-53) dan Hiromasa Ochiai (minit ke-60).
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment