Saturday 15 September 2018

Manifestasi kecintaan terhadap negara



Penubuhan koir Bernama merupakan manifestasi kepada semangat cintakan negara selaras dengan tema ‘Sayangi Malaysiaku’.
Alunan lagu-lagu patriotik dalam persembahan koir itu mengukuhkan kecintaan kepada negara yang meraikan ulangtahun pembentukannya esok – Hari Malaysia.
Setakat ini lagu-lagu yang dipersembahkan oleh koir itu ialah Setia, Keranamu Malaysia, Jalur Gemilang, lagu Bernama dan Negaraku.
Pasukan koir itu ditubuhkan Julai lepas untuk terlibat secara langsung dalam sebarang majlis rasmi Bernama, kata Pengurus Sumber Manusia Mariati Mohd Arif.
Ia dipimpin oleh Encik Razak Mowclause dari Bahagian Harta dan Pentadbiran serta diletakkan di bawah penyelarasan Unit Komunikasi Korporat.
Bermula dengan perhimpunan bulanan Bernama, pasukan itu telah mengorak langkah membuat persembahan pertamanya di luar Bernama apabila menyertai Bernama Roadshow di Sunway Putra Mall di ibu negara dua hari lepas dan semalam.
“Mereka begitu komited dan bersemangat,” kata Mariati mengenai pasukan itu yang dianggotai 18 orang dari pelbagai jabatan, bahagian dan unit.
Ada kemungkinan jumlah itu ditambah terutama dari kalangan jabatan serta bahagian  yang belum diwakili.
“InsyaAllah satu hari nanti lebih ramai petugas yang akan berminat menyertai koir ini,” kata Mariati.
Koir itu menjalani latihan mingguan yang dikendalikan oleh Muhammad Hadi Razak dari Bernama News Channel (BNC), yang bersama bapanya Razak Mowclause telah menggubah lagu ‘BernamaKu” sempena ulangtahun ke-50 agensi berita nasional ini tahun lepas.
Hadi, yang dipanggil “Cikgu” oleh anggota-anggota koir, menganggap tugas itu sebagai usaha untuk berkongsi pengalaman dan minatnya dalam bidang muzik.
“Pada mulanya saya rasakan ia satu cabaran kepada saya untuk melatih sebuah pasukan koir yang terdiri dari kalangan petugas pelbagai jabatan di Bernama.
“Tapi saya ambil sebagai satu peluang untuk curahkan segala pengalaman yang saya ada sebelum ini.
“Pada tahap sekarang ini, banyak lagi yang perlu ditambah baik yang mana saya sendiri masih menimba ilmu dalam bidang muzik, sebab muzik adalah satu “passion” pada saya.
“Namun perasaan saya sangat bersemangat kerana sokongan daripada ketua jabatan untuk memberi pelepasan kepada peserta koir mengikuti latihan,
“Jadi dengan kehadiran dan semangat peserta koir, saya terus melatih mereka dan cuba akan menjadikan mereka sebagai sebuah pasukan koir yang terbaik.
“Dari segi vokal, saya masih memberi latihan yang cukup untuk mereka, sebab kekuatan vokal mereka perlu ditambah baik,
“Dari segi persembahan juga kami akan terapkan untuk majlis yang seterusnya.
“Setakat ini, lagu-lagu adalah berkaitan patriotik, walau bagaimanapun, saya akan cuba guide pasukan koir untuk turut berlatih lagu-lagu yang lebih universal,” kata Hadi.


No comments:

Post a Comment