Friday 14 September 2018

Genap Sebulan Mengharungi Dugaan



Daripada Haji Shamsudin Puteh di Makkah

Hari ini genap sebulan berada di Tanah Suci Makkah bagi tujuan menunaikan ibadah haji.
Jumlah jemaah pun sudah jauh berkurangan berbanding dua tiga minggu lepas.
Terasa begitu cepat masa berlalu.
Alhamdulllah, walaupun banyak cabaran yang dilalui, tetapi dengan izin Allah, dapatlah mengharunginya tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.
Soal mabrur atau tidak ibadah haji yang ditunaikan, hanya Allah yang layak menilainya.
Di samping cabaran yang ditempuh dalam menunaikan perkara berkaitan wajib dan rukun haji, dugaan berkaitan perangai dan kerenah manusia juga tidak kurang hebatnya.
Perbezaan dari segi budaya, cara hidup dan sikap jemaah dari negara lain, kadangkala boleh menimbulkan keadaan tidak selesa bagi jemaah haji dari Malaysia yang terkenal dengan sikap sopan dan tertib mereka.
Contohnya, sikap kasar dan tidak memperdulikan hak serta keselesaan jemaah lain semasa berada di dalam masjid dan melakukan tawaf atau saie, menjadi sungutan mereka yang pertama kali menunaikan haji atau umrah.
Perbuatan menolak, menghimpit dan melangkah jemaah yang sedang duduk beriktikaf atau merempuh individu yang sedang tawaf adalah perkara biasa bagi jemaah dari negara tertentu, tanpa rasa bersalah.
Sikap peniaga yang mengenakan harga dengan sesuka hati bagi sesuatu barang juga adalah perkara lumrah di sini.
Contohnya, sebotol air yang berharga dua Rial pada tengah hari akan menjadi 4 Rial pada waktu petang.
Begitu juga dengan pemandu teksi.
Tambang ke sesuatu tempat, Tanaiem untuk bermiqat contohnya, boleh berbeza sebanyak 30 Rial dari tempat yang sama.
Jemaah perlu cekap untuk tawar menawar dan jangan mudah mengalah.
Saya sendiri pernah diminta tambang 100 Rial untuk ke tempat itu, sedangkan tambang biasa hanya 40 Rial untuk sebuah teksi.
Selepas bertekak, akhirnya pemandu berkerurunan Yaman itu bersetuju dengan tambang 40 Rial kononnya kerana saya rakyat Malaysia.
Itulah modal kebanyakan peniaga di sini untuk memerangkap pembeli.
Bagaimanapun, perkara yang tidak kurang mencabar bagi saya sepanjang sebulan ini ialah makanan.
Biar betapa sedap sekali pun kata orang tentang makanan di sini, khususnya nasi mandy, namun ia tetap tidak serasi dengan selera saya.
Makanan yang disediakan di tempat penginapan pun kerap mengecewakan kerana tidak menepati selera rakyat Malaysia seperti yang diuar-uarkan pihak tertentu.
Untuk memujuk hati, saya anggap itu adalah sebahagian daripada cabaran yang perlu dilalui dengan sabar ketika menunaikan haji.
Kami dijadual berangkat ke Madinah pada 18 September.
Tak sabar untuk menjejakkan kaki di Masjid Nabawi pula, di mana terletaknya makam Rasulullah dan Raudhah, sebelum menaiki pesawat ke tanah air pada 24 September.

No comments:

Post a Comment