Tuesday 4 September 2018

Semai budaya kerja cemerlang, akhlak mulia...

Petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) harus menjadi pekerja yang berakhlak mulia dengan mengamalkan budaya kerja cemerlang dalam menjalankan tugasan harian.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Zulkefli Salleh berkata warga Bernama harus menghayati sambutan Kemerdekaan Malaysia yang ke-61 tahun ini yang bertemakan "Sayangi Malaysiaku" dengan memerdekakan diri.
“Memerdekakan diri bermaksud membebaskan diri daripada sikap negatif antaranya tidak mahu bekerjasama dengan rakan sepejabat, mencuri tulang (ponteng kerja), sikap benci membenci antara satu sama lain,” katanya selepas menyampaikan amanat bersempena perhimpunan bulanan Bernama di Wisma Bernama hari ini.
Mengenai tema hari kemerdekaan “Sayangi Malaysiaku”, Zulkefli berkata ia amat bertepatan dengan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Justeru warga Bernama diminta agar menghayati roh perpaduan dan persefahaman antara rakyat berbilang kaum dan membina jati diri sebagai sebuah bangsa Malaysia yang merdeka jiwanya.
“Saya berharap warga Bernama dapat menjiwai semangat kenegaraan. Kemerdekaan Malaysia adalah hasil perit jerih pemimpin terdahulu dalam membebaskan negara daripada cengkaman penjajahan.​​​ Rakyat Malaysia terutamanya generasi muda sekarang tidak mengetahui betapa sukarnya untuk memperoleh kemerdekaan.
“Pada zaman penjajahan Jepun dulu, rakyat tidak menikmati pelbagai kemudahan dan kesenangan yang kita semua miliki sekarang…ini semua adalah hasil pengorbanan pejuang kemerdekaan terdahulu, terutamanya Bapa Kemerdekaan Malaysia yang juga Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman,” katanya.
Pada majlis itu turut diadakan penyampaian anugerah pekerja terbaik bulanan, surat kenaikan pangkat dan surat pengesahan jawatan kepada warga Bernama.
Sehubungan itu, Zulkefli meminta para penerimanya agar terus komited menjalankan tugasan harian dan berharap ia akan menjadi pembakar semangat dan motivasi kepada warga kerja yang lain.
Zulkefli juga menyatakan penghargaan atas pencapaian Bernama menerima Pensijilan ISO 9001:2015 daripada Badan Pensijilan Antarabangsa Lloyd's Register Quality Assurance selepas menjalani proses audit pematuhan pada bulan Ogos lepas.
“Sijil ini memberi pengiktirafan kepada Bernama dalam membuktikan kebolehan dan keupayaan serta mutu produk perkhidmatan kepada pelanggannya. Selain itu, Bernama turut menerima pengiktirafan Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd (SIRIM) iaitu badan pensijilan, pemeriksaan dan ujian.
“Terima kasih dan tahniah kepada semua warga Bernama di semua jabatan yang telah terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam membantu menjayakan (usaha ini) sehingga (Bernama) memperoleh pengiktirafan daripada Lloyd's Register Quality Assurance dan SIRIM ini,” katanya.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment