Saturday 8 September 2018

Bernama bukan untuk bersaing...

Bernama adalah agensi berita nasional milik negara dan tidak harus dianggap  bersaing dalam industri media tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datuk Zulkefli Salleh berkata Bernama merupakan agensi yang serius memainkan peranan menyebar berita dan maklumat sahih kepada segenap lapisan masyarakat mengenai kepentingan mereka.
“Dalam zaman era internet ini, banyak berita yang tidak sahih,” katanya dalam program “Ruang Bicara” sempena 11 tahun penubuhan Bernama Radio yang disiarkan menerusi Bernama News Channel (BNC) pada 3 September lepas.
Beliau berkata Bernama harus dinilai dalam konteks kredibilitinya melaporkan berita terutama pengumuman kerajaan sama ada menerusi wires, radio atau televisyennya.
Sebagai contoh, katanya, apabila Bernama melaporkan mengenai amaran tsunami, ramai yang percaya dan bertindak mengambil langkah sewajarnya.
“Maka ratusan dan mungkin ribuan nyawa akan terselamat,” katanya.
Datuk Zulkefli berkata semasa Bernama mengambil keputusan menubuhkan Bernama Radio dan Bernama TV (sekarang BNC), banyak pihak yang mempertikaikan langkah tersebut kerana kewujudan Bernama adalah sebagai pembekal kandungan.
“Mereka mempersoalkan kenapa Bernama mahukan stesen penyiaran radio dan televisyen.
“Walau apapun kritikan yang diterima, Bernama tetap meneruskan kedua-dua usaha itu kerana kita mendapati radio dan TV boleh membantu menjual produk kita yang kita pakejkan dan dijual kepada pelanggan bukan media,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa Bernama harus menjual produk kerana sebagai sebuah badan berkanun, ia hanya dibiayai separuh oleh kerajaan untuk emolumen manakala kos operasi dijana daripada pendapatan sendiri.
“Jadi untuk mengharapkan BNC dan Bernama Radio bersaing dengan stesen lain, saya kira tidak adil kerana kita hanya melengkapi.
“Kita tak mungkin boleh bersaing dengan Astro atau RTM (Radio dan Televisyen Malaysia) kerana RTM adalah pelanggan Bernama.
“Jadi di mana ruang yang lompong, di situlah Bernama Radio masuk. Kita tidak mahu berebut pendengar dengan RTM.
“Sekiranya masyarakat mendapat maklumat daripada RTM, ia OK. Yang tidak mahu mendengar RTM dan mendapat maklumat daripada Bernama Radio, pun OK.
“Manusia ini ada pilihannya. Di situlah kita memberi kebebasan kepada pendengar memilih stesen mana yang dia hendak.
“Dari segi berita, RTM juga mempunyai siaran berita, TV lain pun ada dan ini menjadi pilihan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata selain maklumat dalam bentuk berita, masyarakat juga memperolehi  maklumat dalam bentuk program daripada Bernama Radio tetapi intinya tetap maklumat.
“Kita adalah sebuah agensi yang membekalkan maklumat, mengupas kejadian yang baru berlaku.
“Radio mempunyai airtime yang banyak dan boleh sampai kepada mereka yang sedang mencangkul di ladang, nelayan yang sedang bekerja di laut tanpa perlu memegang suratkhabar untuk maklumat sampai ke telinga mereka.
“Golongan-golongan ini masih banyak dan memerlukan maklumat sambil mereka mencari kehidupan.
“Di situlah, saya lihat peranan Bernama Radio, bukan untuk bersaing dengan mana-mana stesen kerana agak pelik bagi pembekal kandungan mahu bersaing dengan pelanggannya.
Beliau berkata penubuhan Bernama Radio pada tahun 2007 mempunyai serampang dua mata -- menyebarkan berita dengan cepat dan tepat serta menjana pendapatan untuk menyara diri.
“Menteri Penerangan ketika itu Tan Sri Zainuddin Maidin bersependapat dengan Bernama bahawa Bernama sebagai pembekal berita dan maklumat juga harus mempunyai sebuah radio untuk menyebar luas maklumat di samping bertujuan memberi satu lagi punca pendapatan kepada Bernama supaya Bernama sentiasa mempunyai dana yang mencukupi untuk membiayai operasinya,” katanya.
Datuk Zulkefli berkata kesinambungan Bernama bergantung kepada keupayaannya untuk terus mempastikan Bernama Radio dan BNC berjaya menjana pendapatan  sekurang-kurangnya untuk membolehkan ia terus berperanan.
“Untuk mengharapkan suratkhabar semata-mata sebagai pelanggan utama Bernama, zaman itu sudah berlalu.
“Kita melihat setiap hari, makin kurang orang membeli suratkhabar…suratkhabar beralih kepada website, portal berita.
“Lama kelamaan sekiranya masyarakat terus tidak mahu membeli suratkhabar atau membayar untuk mendapat berita yang sahih, saya menjangka dalam tempoh yang tidak lama lagi, (operasi) suratkhabar akan dikecilkan dan akan lebih bergantung kepada Bernama.
“Dalam pada itu, yuran tidak boleh dinaikkan sebab bisnesnya mengecil.
“Ini menjadi dilema kepada Bernama untuk berfungsi sebagai pembekal kandungan dan dalam masa yang sama harus mencari pendapatan sendiri,” katanya.
Beliau berkata jasa dan peranan Bernama kepada masyarakat adalah besar untuk menyampaikan berita dan maklumat yang sahih.
“Sejak beroperasi pada tahun 1968 membekal berita dan maklumat kepada industri tempatan yang pada masa itu masih di peringkat bayi, jadi banyak suratkhabar yang tidak berkemampuan terutama surakhabar vernacular seperti bahasa Tamil dan Mandarin bergantung kepada Bernama untuk mendapat bahan berita terutama hal-hal berkaitan dengan kenegaraan, kerajaan dan sebagainya,
“Apabila Perdana Menteri melakukan lawatan ke luar negara, mereka bergantung kepada Bernama untuk mengirim berita itu pulang.
“Satu ketika juga, Bernama menyebarkan berita-berita daripada agensi berita antarabangsa dan dibayar untuk menjalankan tugas itu.
Setelah Akta Multimedia diperkenalkan, hak ekslusif untuk Bernama menyebar berita-berita agensi luar negara telah ditarik balik dan Bernama kehilangan pendapatan.
Oleh itu, pada tahun 1990-an, pengurusan Bernama sentiasa memikirkan cara-cara untuk meningkatkan pendapatan.
Penubuhan Bernama TV dan Bernama Radio adalah antara usaha itu sesuai dengan Akta Bernama yang membolehkan agensi ini menjana pendapatan.

No comments:

Post a Comment