Saturday 15 September 2018

Kota Sedekah


Daripada Haji Shamsudin Puteh

Di kota Makkah ini, khususnya di Masjidil Haram, terdapat ramai dermawan, lebih-lebih lagi pada musim haji.
Selain derma yang diberi lahir daripada keikhlasan hati, mungkin para dermawan juga ingin merebut ganjaran pahala yang berlipat kali ganda bagi setiap kebaikan yang dijanjikan Allah kepada hambanya yang melakukan kebaikan di tanah suci ini.
Setiap kali selepas jemaah selesai menunaikan solat fardu di Masjidil Haram, kelihatan kenderaan pick-up, malah lori, diletakkan di lokasi strategik bagi mengagihkan minuman dan makanan kepada orang ramai.
Makanan yang diedar termasuk nasi, kebab, syawarma, roti telur dan buah-buahan.
Bagi memudahkan para penderma memberi makanan kepada golongan kurang bernasib baik, banyak kedai memberi khidmat sebagai pengedar makanan.
Caranya cukup mudah.
Seseorang yang ingin menderma hanya perlu menyerahkan wang kepada pekedai dan pekedai berkenaan akan menyediakan makanan dengan nilai sewajarnya bagi setiap bungkusan untuk diagih kepada orang ramai.
Perkara ini dapat dilihat dengan jelas terutama selepas solat subuh apabila golongan kurang berada akan beratur bagi mendapatkan pemberian itu.
Mengadakan kenduri seperti ini cukup praktikal kerana seseorang yang ingin menjamu orang ramai tidak perlu mengajak mereka ke rumah atau menyediakan khemah sebagai tempat menikmati makanan.
Di Masjidil Haram, adalah perkara biasa jika kita dihulurkan makanan, tasbih, tamar, minyak wangi dan malah wang oleh orang yang tidak dikenali.
Mereka ini ingin memberi hadiah atau sedekah mengikut kemampuan masing-masing bagi mencari keredaan Allah.
Malam tadi, ketika duduk mengambil angin di luar hotel, sebuah kereta Chevrolet berhenti di hadapan saya dan pemandunya menghulurkan beberapa kotak kurma sebelum mempelawa orang yang lalu-lalang mengambil sekotak seorang.
Semoga bumi Makkah terus diberkati Allah hingga ke akhir hayat dunia ini.


No comments:

Post a Comment