Saturday 29 September 2018

PRK Port Dickson temukan bekas ketua biro Bernama Negeri Sembilan


Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson menemukan Ketua Biro Negeri Sembilan Hisham Rafar dengan tiga bekas penyandang jawatan itu apabila mereka bersama-sama terlibat membuat liputannya.
Editor kanan Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Ahmad Shukran Shaharuddin menjadi penyelaras liputan dengan dibantu Hisham, Razali Pilus serta wartawan Rhoma Ahmad Razali dari ibu pejabat. 
Shukran menjadi ketua biro di Seremban antara 2005 hingga 2007, Rhoma 2012-2014 diikuti Razali pada tahun 2015 dan 2016 sebelum diambil-alih oleh Hisham sehingga sekarang.
“Kami bercerita sikit masa era pentadbiran masing-masing….dari segi liputan berita, kawan-kawan yang masih ada ketika tiga ketua biro sebelum saya,” kata Hisham mengenai pertemuan mereka semalam.
“Petugas teknikal Shariffudin Ali Basha kata dia pernah berkhidmat dengan semua ketua biro itu,” katanya.
Ada yang kongsi foto mereka dalam WhatsApp kumpulan BernamaNS dan Facebook.
“Seronok juga lah boleh rakam moment yang sekali datang macam ni..saya, Shukran dan Rhoma adalah anak jati Pahang,” kata Hisham.
Pejabat biro Seremban sekarang terletak di Jalan Sri Rahang 1, Seremban.
Ramai wartawan Bernama telah diberikan kepercayaan untuk menjadi ketua biro Negeri Sembilan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Zulkefli Salleh dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Antarabangsa Ahmad Fuad Yahya sejak biro itu dibuka pada 1 Julai 1970.
Menurut Shukran, ketika beliau berkhidmat di Seremban, ofis Bernama terletak di tingkat 8, sebuah bangunan di Jalan Datuk Bandar Tunggal.
“Bangunan tu sebelah BSN dan Maybank…malam malam ngeri masa nak naik opis.
Walaupun tidak pernah diganggu, “tapi memang horror opis tu…orang lain saya tak tahu,” kata Shukran.
“Bayangkan bangunan 10 tingkat ada dua orang saja kat situ, saya dan seorang Pak Guard bangsa India yang berumur,” katanya.
Shukran berkata satu peristiwa yang tidak boleh dilupakan semasa bertugas di negeri itu ialah ketika menunggu seorang pemimpin negeri memberi kenyataan selepas digantung keanggotaannya daripada parti.
“Tunggu depan rumah dia tengah panas, bergilir dengan Razali.
“Akhirnya dia bagi seorang wartawan dari Kuala Lumpur sahaja yang masuk  atas urusan kawan dan bukannya sebagai press.
“Semua press di NS kena scoop big time termasuk wartawan akhbar itu sendiri di Seremban,” katanya.
Shukran berkata pengajaran yang diperolehinya daripada peristiwa itu ialah “hubungan dan sentuhan peribadi akan membolehkan kita mendapat berita yang lebih baik daripada sekadar liputan biasa-biasa sahaja”.
Pagi ini tumpuan diberikan kepada bandar tentera tepi laut itu apabila proses penamaan calon bagi PRK itu diadakan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 Oktober ini sebagai hari mengundi manakala 9 Oktober sebagai hari pengundian awal.
Hisham berkata sembilan orang termasuk dua jurufoto akan membuat liputan PRK itu yang diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68,  dari Pakatan Harapan mengosongkan kerusi itu pada 12 September lepas.
Tindakan itu bertujuan memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang baru-baru ini menang tanpa bertanding sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat, bertanding bagi kembali ke Dewan Rakyat.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.
Parlimen Port Dickson memiliki 75,770 pemilih berdaftar dengan 68,468 orang adalah pemilih biasa, 7,268 pemilih awal dan 16 orang pemilih tidak hadir luar negara.

No comments:

Post a Comment