Saturday 1 July 2017

Gasing perlukan 'tulang belakang', kata Ikon #Negaraku

Oleh Fadzli Ramli

Usaha mempertahankan gasing sebagai permainan warisan memerlukan ‘tulang belakang’ kukuh bagi memastikan ia dapat dilaksana secara berkesan, kata Ikon #Negaraku Remy Azizi Abdul Karim.
Remy Azizi, 37, berkata ‘tulang belakang’ dalam bentuk sebuah badan atau organisasi khusus dengan sokongan penuh kerajaan serta organisasi swasta di negara ini, adalah perlu bagi memperkasa usaha mempertahankan warisan gasing.
Beliau yang juga penggiat dan pembuat gasing generasi keempat berkata sememangnya terdapat usaha daripada pelbagai pihak terutamanya agensi kerajaan untuk mempertahankan permainan tradisi itu, namun usaha itu masih belum mencukupi.
“Impian saya untuk gasing ini mempunyai sebuah akademi khas yang menjadi sumber rujukan, yang segala isu mengenai gasing dibincangkan juga penyelidikan dijalankan dan mereka yang berminat mempelajari mengenai permainan ini dan juga cara membuatnya boleh datang sendiri.
“Contohnya saya hasilkan fidget spinner kayu daripada reka bentuk gasing bagi mendedahkan gasing kepada anak muda yang mendapat sambutan menggalakkan, tetapi selepas ini ke mana harus saya tuju. Kita perlu tulang belakang seperti akademi ini sebagai sumber rujukan untuk kita peroleh bantuan dan juga suatu sistem sokongan daripada kerajaan bersama pihak swasta,” katanya kepada Bernama di Melaka.
Remy Azizi berkata usaha gigih agensi kerajaan seperti Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan) untuk mempertahankan gasing wajar dijadikan contoh semua pihak terutamanya organisasi dan syarikat swasta.
“Namun kita perlu lihat kekangan dihadapi agensi kerajaan ini seperti Kraftangan, selain gasing ada berpuluh malah beratus warisan lain yang menjadi tanggungjawab mereka untuk kekalkan, jadi tumpuan khusus terhadap gasing itu ada kekangannya. Maka wajar gasing ada satu badan khusus supaya tumpuan dapat diberi,” katanya.
Selain itu, beliau berkata syarikat swasta juga diharap memainkan peranan proaktif dalam usaha mempertahankan gasing antaranya dengan menaja permainan gasing untuk dimainkan komuniti setempat terutama generasi muda sebagai satu daripada program khidmat masyarakat (CSR) syarikat itu.
Katanya selain mempertahankan warisan, gasing merupakan antara produk pelancongan yang menarik perhatian ramai pelancong dan perlu dipopularkan bagi memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan di negeri dan negara ini.
Beliau berkata apa yang dihadapi pembuat dan penggiat gasing sepertinya adalah perasaan terpaksa berseorangan tanpa ada ‘rakan kongsi’ yang gagah sebagai tulang belakang, dalam usaha mempertahankan gasing.
“Saya tiada pekerjaan lain hanya tumpu pada gasing sahaja. Bila terpaksa berseorangan tiada sokongan untuk pertahan gasing ini ada juga fikir hendak berhenti kerana fikir mungkin boleh dapatkan pekerjaan lebih baik, tetapi bila saya jumpa ramai orang terutama orang muda tidak kenal gasing, semangat saya naik balik.
“Saya sangat sayang gasing hingga sanggup habiskan hayat saya kerana gasing, tetapi saya juga seperti pembuat dan penggiat gasing lain amat perlukan tulang belakang untuk menyokong kami. Jika tiada amat susah untuk kami terus bergerak dan khuatir gasing hanya jadi pameran muzium sahaja suatu hari nanti,” katanya.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment