Friday 14 July 2017

'Jalan Ke Jannah' Bawa Tuah Kepada Jurufoto Bernama

Mengabadikan detik isteri tercinta bersama kedua-dua anak perempuan mengaji al-Quran bukan sahaja menjadi memori indah tetapi juga membawa rezeki kepada jurufoto Bernama, Mazlan Samion.
Menerusi gambar itu, Mazlan, 42, mendapat tempat pertama dalam pertandingan fotografi 'Kembara Rohani: Budaya dan Warisan Islam di Asia Tenggara' anjuran Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM), yang diumumkan hari ini.
Beliau berkata gambar itu diambil pada 2015 di rumahnya di Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur apabila diberikan tugasan untuk mendapatkan gambar sempena Nuzul al-Quran pada tahun itu.
"Gambar itu diambil ketika anak dan isteri saya sedang mengaji al-Quran pada bulan puasa. Mulanya memang payah kerana anak kedua saya sangat banyak celotehnya tapi akhirnya saya dapat juga mengambil foto mereka," katanya kepada Bernama.
Beliau tidak menyangka foto bertemakan 'Jalan Ke Jannah' itu berjaya menyaingi 120 jurugambar profesional dan amatur dari beberapa buah negara antaranya Indonesia, Thailand, Kemboja, Perancis, Jerman dan United Kingdom.
Bertugas di Bernama sejak 13 tahun lepas, Mazlan berkata beliau mengetahui pertandingan itu melalui laman sosial Facebook MKIM pada Mei lepas sebelum menghantar gambar berkenaan kepada penganjur untuk dipertandingkan.
Berkongsi detik gembira itu, Mazlan juga tidak menyangka e-mel yang diterimanya pada minggu lepas adalah petanda beliau menerima 'durian runtuh' apabila diminta menghadiri satu majlis anjuran MKIM, sebelum diumumkan sebagai pemenang pertama petang ini.
"Sebelum ini memang banyak pertandingan peringkat antarabangsa saya sertai tetapi hanya menerima hadiah sagu hati sahaja dan kali ini saya sangat tidak menyangka boleh menyaingi jurufoto dari luar negara,"katanya.
Mazlan menerima hadiah wang tunai RM5,000, sijil dan buku fotografi.
Timbalan Ketua Jabatan Urusan Kurator Muzium Kesenian Islam,  Nurul Iman Rusli menyampaikan replika cek kepada Mazlan pada majlis penyampaian hadiah hari ini.
Pertandingan tersebut julung kali dianjurkan oleh muzium itu.
-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment