Seramai 200 peserta dengan 45 kereta bertolak ke Pekan, Pahang pagi ini dalam kembara mencari harta karun 'All-Ladies Treasure Hunt Kuala Lumpur-Pekan 2017' (ALTH).
Peserta program dilepaskan Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh di Wisma Bernama disaksikan Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Datuk Mokhtar Hussain.
Program khusus untuk wanita anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama (Benita) edisi keempat bertemakan 'Kawan Nak ke Pekan' itu bertujuan mempromosikan Tahun Melawat Pahang dan diadakan sempena sambutan Jubli Emas Bernama tahun ini.
Juara akan menerima hadiah wang tunai RM3,000, tempat kedua RM2,000 dan tempat ketiga RM1,000 bagi kedua-dua kategori terbuka dan tertutup selain hadiah iringan.
Pengerusi Benita Datin Rohana Mustaffa berkata peserta antara lain perlu menjawab soalan berkaitan pelancongan di Pahang sambil melalui pelbagai destinasi popular di negeri itu.
Ini termasuk Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah dan Pusat Tenun Pahang DiRaja selain mengenali dengan lebih lanjut tentang masakan popular tempoyak ikan patin.
Peserta ALTH dijangka tiba di Pekan pada 5 petang ini dan disambut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.
Antara penaja utama ALTH ialah kerajaan negeri Pahang, Tourism Pahang, Kumpulan AmBank dan Kumpulan Mah Sing.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment