Wednesday 12 July 2017

Sambutan meriah Konvoi 1 Jiwa di Terengganu...

Ketibaan Konvoi Jelajah 1Jiwa Bernama diberi sambutan meriah oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu hari ini.
Turut sama menyambut konvoi Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan & Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat dan Ketua Biro Bernama Terengganu Zalina Maizan Ngah .
Konvoi 15 buah motosikal berkuasa tinggi itu memulakan perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan pada 9 pagi ini dan menggunakan laluan pantai dengan mengambil masa lebih tiga jam untuk sampai ke Kuala Terengganu.
Ahmad Razif yang teruja dengan ketibaan konvoi itu meluangkan masa selama 30 minit beramah mesra dengan 15 peserta konvoi dan 10 kru sambil bertanyakan pengalaman mereka sepanjang perjalanan yang sudah masuk hari kelima hari ini.
"Saya ucapkan tahniah kepada Bernama kerana berjaya menganjurkan konvoi sempena sambutan ulang tahun yang ke-50. Begitu lama Bernama menaburkan khidmat kepada masyarakat dan industri penyiaran berita dalam negara.
"Saya difahamkan konvoi ini bukan sahaja singgah di setiap pejabat biro negeri, malah peserta konvoi turut turun padang bertemu anggota veteran yang telah banyak menabur jasa untuk Bernama dan masyarakat umumnya," katanya kepada pemberita selepas pelepasan konvoi tersebut ke Pahang.
Ahmad Razif juga kagum dengan semangat peserta konvoi yang mengharungi perjalanan jauh menempuhi pelbagai cabaran dalam memastikan matlamat mereka memperkenalkan Bernama kepada rakyat Malaysia tercapai.
"Paling menyentuh sanubari ialah peserta konvoi turut menyampaikan sumbangan kepada veteran yang berkhidmat dengan agensi berita ini. Ia membuktikan keprihatinan sosial Bernama terhadap petugas mereka.
"Saya berharap perjalanan konvoi ini akan tiba ke destinasi mereka dengan selamat dan sihat tubuh badan," katanya yang turut mencuba menunggang motosikal berkuasa tinggi itu.
Sementara itu, Chef De Mission, Amrizan Madian berkata beliau terharu dengan sambutan mesra yang diberi pimpinan tertinggi Terengganu kepada semua peserta konvoi.
"Dalam kesibukan Menteri Besar yang mempunyai jadual begitu padat, beliau masih sempat meluangkan masa untuk meraikan konvoi Bernama hari ini dan sokongan ini memberi kami motivasi untuk meneruskan perjalanan dengan lebih bersemangat.
"Terima kasih juga saya ucapkan kepada Biro Bernama Terengganu yang menyediakan pelbagai hidangan lazat untuk kami termasuk nasi dagang, akok dan keropok lekor yang menjadi identiti warisan negeri ini," katanya.
Setiap hari, konvoi itu dijadualkan melalui perjalanan sejauh 200 hingga 300 kilometer dan setakat ini, mereka sampai ke setiap destinasi mengikut tempoh yang ditetapkan.
Amrizan berkata sebaik melalui jalan pantai bermula dari Penarik di Setiu, peserta konvoi mula memperlahankan kelajuan motosikal masing-masing untuk menikmati keindahan panorama Laut China Selatan.
"Cuaca sepanjang hari ini juga begitu tenang dan tidak terlalu panas. Doakan kami semua selamat dan terhindar daripada sebarang musibah sepanjang konvoi ini," katanya.
 -- BERNAMA



No comments:

Post a Comment