Para peserta Jelajah 1 Jiwa Bernama menjejaki lima pesara Bernama pada hari pertama konvoi itu yang meliputi sekitar Lembah Klang.
Pertemuan dengan golongan veteran itu merupakan elemen penting program berkenaan yang bertujuan menyemarakkan semangat sambutan Jubli Emas Ulangtahun ke-50 Bernama.
Konvoi, yang dilancarkan Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang di Wisma Bernama pagi ini, akan mengunjungi semua biro Bernama di Semenanjung dan berakhir 15 Julai ini.
Para peserta konvoi dijadual bertemu golongan veteran Bernama di setiap negeri yang dikunjungi.
Sepanjang acara hari ini, ternyata para pesara Bernama begitu terharu menerima kunjungan konvoi itu yang disertai kakitangan Bernama serta pemilik motosikal berkuasa tinggi.
Pesara pertama yang dikunjungi mereka ialah Haji Zainal Hasnan Mansur, 74, di Taman Ibukota.
Beliau bersara sebagai Pengurus Perjawatan pada 9 Jun 1998 setelah berkhidmat selama 27 tahun 4 bulan dengan Bernama.
"Amat mengejutkan saya dan saya rasa terharu kerana inilah kali pertama rakan-rakan dari Bernama datang dalam kumpulan yang besar.
"Saya kenal Baki...Hanapiah..yang lain itu masuk selepas saya keluar Bernama pada 1998," kata Haji Zainal.
"Amat mengejutkan saya dan saya rasa terharu kerana inilah kali pertama rakan-rakan dari Bernama datang dalam kumpulan yang besar.
"Saya kenal Baki...Hanapiah..yang lain itu masuk selepas saya keluar Bernama pada 1998," kata Haji Zainal.
Mereka kemudian mengunjungi Hajah Rokiah Jono, 72, yang lebih mesra dengan panggilan 'Kak Kiah' di rumahnya di Taman Melati.
Kak Kiah bersara sebagai setiausaha dan pembantu peribadi pada 30 November 1996 setelah berkhidmat selama 28 tahun 9 bulan dengan Bernama.
Destinasi seterusnya ialah di kawasan Keramat AU5 untuk bertemu mantan Penyelia Trafik di Bahagian Teknikal, Haji Abdul Aziz Zainuddin, 83.
Turut dikunjungi mereka ialah mantan telefonis Encik Osman Mohd Noor, 72, di Flat Sanpeng. Beliau berkhidmat selama 17 tahun 5 bulan sebelum bersara pada 1 September 1985.
Veteran terakhir yang dikunjungi mereka hari ini ialah mantan editor, Haji Jamil Abdullah, 91, di Puchong. Beliau bersara pada 18 April 1985 setelah berkhidmat selama 16 tahun 11 bulan dengan Bernama.
Turut berada di rumah tersebut ialah mantan editor eksekutif Encik Zainoor Sulaiman.
Usaha menjejaki para pesara berkenaan dibantu oleh 'orang lama' Bernama Encik Baki Abdul Ghani yang gembira dengan langkah itu yang dilakukan oleh golongan muda Bernama.
"Secara keseluruhan, para pesara yang ditemui amat terharu dengan ingatan serta inisiatif yang diambil untuk mengekalkan silaturahim," katanya.
Program konvoi itu, yang diilhamkan wartawan Amrizan Madian, akan bergerak ke Ipoh dan Georgetown esok.
Allahuakhbar...semoga baki dan rakan2 semua dirahmati Allah selalu...aamiin.
ReplyDelete