Konvoi Jelajah 1 Jiwa bersempena sambutan ulangtahun ke-50 Jubli Emas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bermula pagi ini dengan penyertaan 40 penunggang motosikal berkuasa tinggi yang akan mengunjungi semua negeri di Semenanjung..
Konvoi disertai kakitangan Bernama dan pemilik motosikal berkuasa tinggi itu akan melawat biro dan pejabat Bernama serta beberapa rumah pesara Bernama bagi menjalin hubungan berterusan antara mereka dengan agensi berita ini.
Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang, yang melepaskan konvoi berkenaan di Wisma Bernama, berkata program sehingga 15 Julai itu antara lain bertujuan memberi penerangan mengenai peranan Bernama dalam melaporkan isu-isu dalam dan luar negara untuk kepentingan rakyat Malaysia.
“Saya berharap program Jelajah ini membawa Bernama lebih dekat di hati rakyat… lagipun kami telah melaporkan mengenai urusan negara dan rakyat tanpa berehat selama setengah abad.
“Kepentingan rakyat adalah kepentingan kami juga,” katanya kepada pemberita. Program itu ditaja Mforce Bike Holdings Sdn Bhd.
Dalam ucapannya, Azman mengingatkan peserta konvoi agar sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan memandangkan kadar kemalangan yang melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal di negara ini agak membimbangkan.
Sewaktu pelancaran, pihak penaja konvoi Mforce Bike berbesar hati menaja lima buah motosikal berkuasa tinggi jenama Benelli, iaitu tiga model TRK502 dan dua model 302R untuk digunakan sepanjang jelajah itu.
Pengurus Besar Mforce Bike Asri Ahmad berkata kedua-dua model berkenaan baru dilancarkan minggu ini dan peserta konvoi itu antara yang bertuah kerana yang terawal dapat menunggang motosikal berkuasa tinggi itu.
Laluan jelajah itu:
8 Julai (Sabtu) - Wisma Bernama - Putrajaya - Shah Alam
9 Julai (Ahad) - Kuala Lumpur - Ipoh - Georgetown
10 Julai (Isnin) - Georgetown - Bukit Mertajam - Alor Star - Kangar
11 Julai (Selasa) - Kangar - Grik - Kota Bharu
12 Julai (Rabu) - Kota Bharu - Kuala Terengganu - Kuantan
13 Julai (Khamis) - Kuantan - Johor Bharu
14 Julai (Jumaat) - Johor Bharu - Skudai - Melaka
15 Julai (Sabtu) - Melaka - Seremban - Segambut - Wisma Bernama
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment