Tuesday 18 July 2017

Pemberita daerah Bernama meninggal dunia akibat serangan jantung...

Pemberita daerah Bernama di Kulim, Alias Putih, 69, meninggal dunia pada 6.45 pagi ini di Hospital Kulim akibat serangan jantung.
Isterinya Asma Zakaria, 69, berkata suaminya dimasukkan ke unit rawatan rapi hospital berkenaan pada 12 Julai lalu selepas mengalami kesakitan pada kakinya yang bengkak selain masalah buah pinggang. 
"Arwah kemudiannya dipindahkan ke wad untuk menjalani rawatan hemodialisis sebelum mengalami serangan jantung pada pukul 6.30 pagi tadi," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Asma berkata doktor mengesahkan suaminya meninggal dunia pada 6.45 pagi dan jenazahnya dibawa pulang ke rumah mereka di Taman Desa Impian, Kulim kira-kira 9 pagi.
Allahyarham Alias mula bertugas sebagai pemberita daerah di Bernama Biro Kedah pada era 80-an dan kali terakhir warga Bernama Kedah bertemu dengannya adalah pada majlis jamuan  berbuka puasa baru-baru ini.
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Masjid Au-Taufiq, Air Merah selepas solat Zuhur  hari ini.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment