Daripada Abdul Rahman Ahmad
Satu-satunya pasangan dalam Kembara Inspirasi Haji ke Tanah Suci menyertai pengembaraan itu kerana mahu perjalanan mereka menjadi inspirasi kepada pasangan lain untuk melakukan kerja amal sejauh mana mereka berada.
Jasmi Jantan, 46, dan isterinya Zuraini Abdul Malek, 36, juga ingin membuktikan bahawa terdapat banyak cara yang membolehkan seseorang itu untuk pergi ke Tanah Suci menunaikan haji.
Beliau yang telah banyak menyertai pengembaraan berkenderaan seperti ke negara Balkan dan Scandinavia merasakan pengembaraan kali ini lebih bermakna kerana ia bertujuan untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.
“Selain itu kami juga singgah di beberapa tempat untuk melakukan kerja amal, menziarahi masyarakat Islam lain dan menikmati keindahan alam ciptaan Allah S.W.T, kembara dahulu tidak ada tujuan tertentu hanya untuk menikmati perjalanan sahaja,” katanya ketika memandu dalam perjalanan dari Liangshan ke Jiange dalam wilayah Sichuan sejauh 570km pada Khamis.
Menurut Jasmi, beliau membawa bersama Zuraini kerana ingin berkongsi pengalaman seperti pengembaraan lain sebelum ini.
“Kelebihannya dia boleh membantu saya, tolong masak dan sediakan makanan untuk saya…benda yang mudah nasi goreng, mi goreng yang mengenyangkan,” katanya.
Bagi Zuraini yang sudah berkahwin 10 tahun dengan Jasmi berkata sememangnya meninggalkan anak-anak amat menyedihkan, namun mereka bernasib baik kerana ada adik-beradik yang memahami dan boleh menjaga anak-anak mereka.
Peserta Kembara Inspirasi Haji berhenti untuk makan tengah hari di tepi sungai di wilayah Sichuan |
”Sebaik sahaja saya mendapat pengesahaan mengenai kembara haji ini, saya terus berbincang dengan adik-adik yang sanggup menjaga anak-anak saya kerana pengembaraan kali ini lebih lama,” katanya.
Katanya, disebabkan mereka berdua sering menyertai pengembaraan di luar negara, anak-anak sudah biasa dengan ketiadaan mereka.
“Kebiasaannya apabila pulang daripada pengembaraan, saya dan suami akan berkongsi pengalaman dengan anak-anak menerusi gambar-gambar yang diambil,” katanya.
Dalam pengembaraan ini, Zuraini turut memandu kenderaan pacuan empat roda milik mereka secara bergilir-gilir yang melibatkan jarak 16,000km.
Kembara Inspirasi Haji ini melibatkan lapan peserta dan dua kenderaan. Setakat ini mereka sudahpun mengembara sejauh lebih 6,000km merentasi Thailand, Laos dan China.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment