Sehari suntuk di bandar yang 99 peratus penduduknya beragama Islam, peserta Kembara Inspirasi Haji 2017 (KIH) berdepan banyak cabaran pahit dan pengalaman manis.
Setelah bergerak melebihi 3,000 kilometer dari Kuala Lumpur sejak Selasa lalu, kenderaan dua buah pacuan empat roda yang membawa lapan peserta itu memasuki bandar Shadian di Wilayah Yunnan, China pada pukul 4.30 pagi ini diiringi sebuah kereta pihak berkuasa yang lazim berbuat demikian untuk pelawat yang datang ke bandar kecil itu.
Sebaik sahaja mendaftar masuk bilik penginapan, peserta kembara terus menunaikan solat subuh di The Grand Mosque Shadian.
“Alhamdulillah, walaupun terpaksa melalui pemeriksaan keselamatan, namun kita dapat tiba dengan selamat ke sini,” kata Pengarah Projek KIH, Khir Ariffin sebaik tiba di bandar itu.
Mereka juga telah melawat perkhemahan musim panas yang menempatkan kira-kira 300 pelajar Islam di kawasan masjid Xida di Jijie, tidak jauh dari bandar itu.
Menurut seorang pengajar, yang dikenali sebagai Fatimah, hanya pelajar berusia antara 10 dan 20 tahun diterima menyertai perkhemahan itu dan mereka diajar bahasa Arab, Inggeris dan pengjian agama dan al-Quran.
“Setiap tahun lain pelajar Islam akan diambil menyertai perkhemahan ini selama dua minggu yang turut melibatkan aktiviti sukan untuk pelajar lelaki dan perempuan yang ditempatkan di asrama yang berlainan,” katanya, yang kini menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor.
Para peserta KIH terpaksa mengharungi pelbagai cabaran seperti tingkap kenderaan bocor ketika hujan semasa dalam perjalanan 600km ke Shadian selain mengalami kehausan pelapik brek.
Menurut Muhammad Shahuri Zaiinuddin, selaku mekanik kembara itu, masalah brek disebabkan kenderaan berkenaan sudah melebihi tempoh perjalanan ribuan kilometer selain mengharungi kawasan tinggi dan curam.
Masalah itu harus dibaiki malam ini juga kerana peserta KIH akan menyambung perjalanan 300km ke Kunming pagi esok.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment