Sunday 9 July 2017

Konvoi tiba di Pulau Pinang ...


Konvoi Jelajah 1 Jiwa meneruskan perjalanan sejauh 357 kilometer ke Pulau Pinang dari Wisma Bernama pada hari kedua program itu yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-50 Jubli Emas  Bernama.
Ia disertai 14 motosikal berkuasa besar dan tiga buah kereta dengan jumlah peserta 22 orang termasuk urusetia.
“Untuk perjalanan hari ini, kami selamat tiba di Biro Ipoh pukul 12 tengah hari setelah bertolak dari Wisma Bernama pada pukul 7.30 pagi,” kata peneraju program Amrizan Madian.
Selepas menyampaikan cenderahati kepada biro itu para peserta konvoi bergambar kenangan di hadapan pejabat Biro Ipoh.
“Selesai makan nasi Vanggey, kami bergerak ke Pulau Pinang melalui jambatan pertama dan sampai di biro Pulau Pinang sekitar jam 4.30 petang,” katanya.
Wartawan Nordiana Barka berkata sebagai tuan rumah, biro Ipoh amat teruja dengan kehadiran konvoi yang pertama kali diadakan.
"Dengan adanya usaha ini, ia dapat mengeratkan hubungan antara staf di biro dengan ibu pejabat," katanya.
Konvoi itu kemudiannya meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang untuk mengunjungi biro Bernama.


Cenderahati turut disampaikan kepada biro itu manakala para peserta konvoi bergambar kenangan di biro Pulau Pinang.
Wartawan Bernama di Pulau Pinang, Kenny Teng begitu gembira dengan kunjungan konvoi itu yang pertama kali diadakan.
"Saya berasa bangga dengan acara jelajah ini kerana buat pertama kali begitu ramai rakan-rakan dari ibupejabat datang ke biro Pulau Pinang," kata Kenny, yang telah berkhidmat selama 10 tahun dengan Bernama.
Para peserta konvoi bermalam di Pulau Pinang sebelum meneruskan perjalanan ke Kedah dan Perlis esok.
“Sebelum itu, kami akan melawat pejabat Mforce selaku penaja motosikal untuk Jelajah 1 Jiwa Bernama,” kata Amrizan.
Beliau berkata cuaca sepanjang perjalanan hari ini adalah baik tetapi agak panas.
“Konvoi banyak berhenti di beberapa R&R…jalan agak sesak disebabkan hujung minggu,” katanya.




No comments:

Post a Comment