Saturday 15 July 2017

Konvoi Jelajah 1 Jiwa Bernama Capai Matlamat...

Setelah mengharungi perjalanan hampir 2,400 kilometer mengelilingi Semenanjung Malaysia selama lapan hari, Konvoi Jelajah 1 Jiwa Bernama selamat tiba di perkarangan Wisma Bernama petang ini.
Ketibaan konvoi, yang disertai 15 penunggang motosikal berkuasa tinggi serta empat kereta pengiring, disambut Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri agensi itu Datuk Mokhtar Hussain.
Konvoi itu julung kali diadakan bertujuan menyemarakkan sambutan ulang tahun ke-50 Jubli Emas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Acara simbolik penyerahan bendera sambutan Jubli Emas Bernama dan bendera Bernama yang dibawa sepanjang perjalanan itu turut diadakan. Wakil konvoi Farhan Mustafa menyerahkan bendera kepada Datuk Zulkefli.
Datuk Zulkefli mengucapkan tahniah kepada semua 25 peserta konvoi dan bersyukur atas kejayaan mereka yang menamatkan penjelajahan dengan selamat.
Beliau berkata konvoi berkenaan melawat 15 biro Bernama di Semenanjung untuk meraikan petugas-petugas yang tidak berpeluang menyertai sambutan ulang tahun Jubli Emas Mei lepas selain memberi sumbangan kepada petugas veteran Bernama.
"Semua peserta selamat tiba selepas menempuh perjalanan sejauh kira-kira 2,400 kilometer. Jelajah itu telah mencapai matlamatnya bagi meraikan sambutan jubli emas," katanya.
Ketua konvoi, Amrizan Madian berkata mereka berhasrat meneruskan jelajah fasa kedua dari Kuching ke Tawau menjelang akhir tahun ini yang melibatkan perjalanan kira-kira 1,700 kilometer.
Penaja konvoi itu, Mforce Bike Holdings Sdn Bhd yang diwakili pengurus cawangan Segambut, Tan Hai Teik berkata pihaknya sentiasa memberi sokongan sekiranya jelajah itu diteruskan masa akan datang.
Konvoi itu singgah di Biro Bernama Seremban sebelum mengakhiri perjalanan di Wisma Bernama.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment