Friday 21 July 2017

Lapan peserta Kembara Haji terpaksa pulang kerana kurang dana...

Daripada Abdul Rahman Ahmad
Lapan peserta dan dua kenderaan pacuan empat roda Kembara Inspirasi Haji (KIH 2017) terpaksa berpatah balik sekali gus membantutkan hasrat mereka untuk meneruskan perjalanan ke tanah suci.
Mesyuarat di pejabat Yayasan Satthachon (Foto Zaim Zin)
Keputusan itu dibuat berikutan kekangan kewangan pihak penganjur yang mengharapkan sumbangan orang ramai bagi perjalanan sejauh 16,000 km dan  memasuki tanah suci sebelum hari wukuf dengan menaiki pesawat.
Mereka yang terbabit telah  dimaklumkan mengenainya  dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh  Pangarah Projek KIH 2017, Khir Ariffin di pejabat Yayasan Satthachon di Bangkok petang semalam.
Yayasan itu merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang terbabit dalam kerja amal membantu umat Islam Thai yang miskin dan pelarian Islam di Thailand yang menunggu masa untk ditempatkan ke negara ketiga.
Mesyuarat itu dihadiri oleh semua 16 peserta KIH 2017 dan pengumuman mengenainya memeranjat dan menyedihkan  mereka.
Menurut Khir, kurang penajaan mengakibatkan KIH 2017 menghadapi  kekangan dana bagi meneruskan kembara bersama empat kenderaan pacuan empat roda
Konvoi itu tiba di Bangkok pada pukul 4.30 pagi Khamis selepas bermalam di Hat Yai.
Dengan perkembangan itu, kini tinggal dua kenderaan bersama lapan peserta termasuk dua petugas Bernama News Channel (BNC) untuk meneruskan kembara tersebut.
“Sejak kita berlepas, kami mendapati tabung dana kita tidak berganjak jumlahnya dan tiada penajaan baharu. Malah kita sepatutnya berlepas dengan enam kenderaan tetapi penaja kita menarik diri  pada saat akhir," kata Khir.
Sehubungan itu Khir secara terbuka meminta maaf  kerana terpaksa membuat keputusan yang menyedihkan semua peserta kembara.
“Saya minta maaf, kita besyukur dan  terima kasih kepada semua, maaf sebab secara realiti masalah  kewangan dan kos tambahan membuat kita mengambil keputusan sedemikian. Namun jangan putus asa tapi teruskanlah usaha," katannya sambil mengesat air mata.
Sebaik sahaja Khir memaklumkan berita  itu kepada mereka, semua yang terbabit telah diberi peluang untuk memberi pandangan mengenai keputusan itu.
Mereka akur dan redha mengenainya kerana  semua yang berlaku adalah ketentuan  Allah SWT dan kemungkinan ada hikmah disebaliknya.
Bagi pasangan suami isteri, Sharin Ahmad, 50 dan Nor’izah Adam, 50   mereka tidak akan putus asa sebaliknya akan meningkatkan usaha agar dapat pergi ke tanah suci untuk menunaikan ibadah haji suatu hari nanti.
Nor’izah berkata berita itu amat menyedihkan dan beliau berdoa agar peserta lain yang akan meneruskan perjalanan ke tanah suci supaya sentiasa dilindungi Allah SWT dan memperoleh haji yang mabrur,
Aizuddin Ab Razak, 30 pula nekad untuk meneruskan usaha agar dapat menunaikan haji bersama-sama lapan orang peserta kembara itu.
“Pelan kedua saya  ialah pulang ke Malaysia dan akan berusaha berjumpa kembali dengan yang lain di Dubai, itu target saya,” katanya yang terkilan kerana ramai sanak saudara telah menghulur doa untuk dipanjangkan ketika musim haji.
Peserta KIH 2017 akan menamatkan perjalanan darat di Dubai dan  menaiki pesawat untuk ke tanah suci beberapa hari sebelum wukuf di Arafah.
KIH 2017 melibatkan 16 peserta dan empat kenderaan pacuan empat roda memulakan pengembaraan dari Kuala Lumpur merentasi 10 negara.
--BERNAMA

No comments:

Post a Comment