Konsul Jeneral Malaysia di Kunming, Datuk Siow Chen Pin memberi jaminan akan memberi kerjasama dan bantuan sepenuhnya kepada peserta Kembara Inspirasi Haji (KIH) sepanjang 17 hari mereka berada di wilayah Yunnan, China.
Beliau menyatakan jaminan itu semasa menerima kunjungan rombongan lapan peserta kembara itu sebaik sahaja mereka tiba di Kunming dari Shadian petang semalam.
“Saya beri jaminan jika ada berlaku apa-apa atau masalah yang dihadapi oleh mereka, pihak kami akan beri bantuan sepenuh dan segala masalah kita cuba selesaikan.
“Saya bangga kerana mereka adalah satu pertubuhan amal dan kedatangan mereka ke beberapa tempat di Yunnan adalah untuk menghulur bantuan dan sumbangan dan saya berharap mereka akan terus membuat kerja amal itu seperti yang mereka lakukan di Shadian,” katanya.
Turut hadir Atase Imigresen di Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming, Muhammad Arshad Barkatullah.
Terdahulu, Pengarah Projek KIH, Khir Ariffin memberi taklimat kepada Siow dan pegawai tertinggi konsulat jeneral mengenai pengembaraan yang melibatkan perjalanan sejauh 16,000km menggunakan dua buah kenderaan.
Setakat ini, peserta kembara telah melakukan perjalanan sejauh 3,680 kilometer sejak memulakan pengembaraan di Kuala Lumpur, Selasa lepas dalam misi menuju ke Tanah Suci untuk mengerjakan haji.
No comments:
Post a Comment