Daripada Abdul Rahman Ahmad di bandar Yong Deng dalam Wilayah Gangsu (China)
Peserta Kembara diMasjid Xiguan dalam
wilayah Gansu
|
Masalah komunikasi akibat tidak tahu berbahasa Mandarin menyebabkan lapan peserta Kembara Inspirasi Haji sukar menyebar maklumat kepada masyarakat China yang ingin tahu mengenai pengembaraan mereka ke Tanah Suci.
Untuk itu, Mohd Izam Mahd Nor berusaha mengatasi halangan berkomunikasi dengan mempelajari bahasa berkenaan daripada Andy Yuan, seorang pemandu pelancong dari China yang mengiringi peserta kembara sepanjang pengembaraan mereka di China.
Mohd Izam mengambil kesempatan belajar daripada ketika mereka berada dalam kenderaan sepanjang perjalanan.
"Bagi saya bahasa Mandarin bahasa istimewa , namun saya belum pandai tetapi saya akan terus mencuba selagi saya ada di China," kata Mohd Izam.
Beliau begitu cepat dan cekap menguasai bahasa Mandarin walaupun tidak pernah bertutur bahasa itu sebelum ini.
Ada kala beliau berpandukan aplikasi berbahasa Mandarin melalui telefon bimbit sebagai rujukan dan terjemahan semasa bertutur dengan warga China.
Sikap bersahaja Mohd Izam membuatnya tidak segan malah mempunyai keyakinan tinggi untuk bertutur dalam bahasa itu dengan sesiapa sahaja yang ditemuinya.
Mohd Izam bergambar bersama penjual tembikai di Gangsu |
Beliau yang suka berseloroh juga tidak berasa malu sekiranya melakukan kesilapan dalam sebutan ketika bertutur malah akan membetulkannya.
Lazimnya tiada siapa yang akan memarahi atau menegurnya malah hanya tersenyum jika dia tidak menyebut perkataan dengan jelas dan tetap kerana mereka memahami Mohd Izam seorang pengembara asing yang cuba mempelajari bahasa itu.
Ada kalanya nama Chong Wei dan Lin Dan, pemain hebat badminton dunia, disebut-sebut oleh Mohd Izam sebagai memperkenalkan Malaysia kepada warga China yang samar-samar mengenai Malaysia.
Ditanya mengenai pengalamannya menjadi peserta paling muda, Mohd Izam berkata: "setakat ini terlalu banyak benda baharu, pengembaraan ini satu peluang bagi saya untuk mencuba dan memahami terlalu banyak yang saya pelajari dan lalui."
Ini adalah kali pertama beliau menyertai sebarang pengembaraan yang telah memberinya pengalaman dalam hidup sebagai seorang pengembara.
Pengembaraan anjuran Pertubuhan Kembara Amal (PEKA) setakat in menghampiri 7,000km melalui Thailand dan Laos dan beberapa bandar di China seperti Shadian, Kunming, Mengla, Dali, Lanzhou, Wei Yuan di Wilayah Yunan, Sichuan dan Gansu.
Pengembaraan itu dijangka menempuh perjalanan sejauh 16,000km yang akan turut merentasi Kyrgyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran dan Emiriah Arab Bersatu sebelum menaiki kepal terbang ke Jeddah beberapa hari sebelum wukuf
--BERNAMA
No comments:
Post a Comment