Wednesday 19 July 2017

Pelajar sekolah tahfiz teruja lawat Bernama....

Seramai 10 orang pelajar dan guru Sekolah Mithali Islam Tahfiz Khalifah, Sepang mengadakan lawatan sulung ke ibu pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Wisma Bernama hari ini.
Dalam lawatan itu, mereka diberi penerangan mengenai perkhidmatan berita bahasa Arab oleh Ketua Meja Bahasa Arab Bernama Muhamad Razee Hasan diikuti sesi soal jawab.
Guru Bahasa Arab sekolah, Umar Mukhtar Shafie berkata lawatan ke Bernama bertujuan melihat sejauh mana bahasa Arab diguna pakai dalam pemberitaan.
“Meja Bahasa Arab Bernama adalah tempat yang paling sesuai yang dilawati untuk memupuk semangat para pelajar dalam mendalami dan menguasai bahasa Arab,” katanya.
“Kami berasa seronok dan teruja dengan layanan mesra dari pegawai bertugas dan ini adalah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” katanya.
Para pelajar itu juga melawat Perpustakaan dan Radio Bernama.
Mereka sedang mengikuti satu program semester pendek yang dinamakan ‘Bulbul Arabiy’ bermula 5 hingga 26 julai.
Program dengan kerjasama ARABICARA itu menyediakan modul-modul bahasa Arab untuk melatih para pelajar bertutur dan belajar dengan cara yang mudah.

Laporan dan foto oleh Muammar Eusouffi Zainol Abidin


1 comment:

  1. Terima kasih kerana sudi menerima lawatan dari kami.

    ReplyDelete