Thursday 20 July 2017

Cadang tubuh kelab pemotoran...

Peneraju Konvoi Jelajah 1 Jiwa Bernama akan berusaha menubuhkan kelab pemotoran Bernama ekoran kejayaan program itu yang diadakan sempena sambutan ulangtahun ke-50 Bernama.
Cadangan mengadakan kelab itu dinyatakan oleh Pengurus Pemasaran Foto Bernama Mohd Farhan Mustafa dalam siaran langsung NINE11 menerusi Bernama News Channel pagi ini yang membicarakan mengenai program tersebut.
"Semua petugas Bernama boleh menyertai aktiviti pemotoran ini nanti," katanya serta membayangkan kemungkinan bahawa ia tidak hanya terhad kepada motosikal. 
Farhan berkata usaha juga akan dilakukan untuk menjadikan program konvoi itu sebagai acara tahunan.
Ketua Meja Jenayah Bernama Amrizan Madian, yang mengetuai konvoi selama lapan hari itu ke seluruh Semenanjung, berkata ia mencapai matlamat untuk mendekati para veteran Bernama selain menyemarakkan semangat sambutan itu dengan para petugas di biro-biro.
"Kita namakan program ini 1 Jiwa sebab kita ingin  mendekati veteran-veteran Bernama yang telah menabur jasa dalam sejarah 50 tahun agensi berita ini," katanya.
"Sebab itulah tagline kita 'Hormati yang baru, sayangi yang lama'," kata Amrizan.
Menurutnya, cabaran yang dihadapi bukan sahaja daripada segi membuat persiapan untuk konvoi tetapi juga untuk berjumpa dengan para veteran kerana ada yang telah berpindah alamat.
"Kita tak mahu hubungan ini terputus selepas mereka meninggalkan Bernama...sesetengah veteran yang kita jumpa, cukup terharu apabila kita kata kita dari Bernama.
"Ada yang tidak sangka bahawa ada yang masih mengingati mereka walaupun telah lama meninggalkan Bernama," kata Amrizan.
Menurut Amrizan, program itu pada awalnya dirancang diadakan sebelum sambutan Jubli Emas Ulangtahun Bernama ke-50 di Dewan Felda, Kuala Lumpur pada 22 Mei lepas.
"Üntuk mengelak program ini mengganggu persiapan tersebut, kita tangguhkan sehingga selepas Hari Raya.
"Sesuai dengan selepas Hari Raya, kita rangkumkan dengan ziarah Hari Raya dan berpeluang berjumpa 15 veteran," katanya.
Di Kuala Lumpur, mereka bertemu, antara lain, Hajah Rokiah Jono yang memegang kad petugas Bernama bernombor 04 serta Haji Jamil Abdullah, pemegang NRP 13.
"Generasi baru di Bernama sekarang termasuk saya tak kenal mereka...Alhamdulillah dengan program ini hubungan dapat dijalin,"katanya. 


No comments:

Post a Comment