Bernama News Channel (BNC) akan menerbitkan 13 episod dokumentari perjalanan darat meliputi 10 negara ke Makkah yang bermula esok.
Enam belas rakyat Malaysia akan mengharungi perjalanan sejauh 16,000 kilometer itu bagi menunaikan ibadat Haji melalui program Kembara Inspirasi Haji 2017.
Dijangka mengambil masa selama 35 hari sebelum tiba ke Tanah Suci, para peserta program anjuran Pertubuhan Kembara Amal (#PeKA) itu akan turut menyampaikan sumbangan kepada pihak yang telah dikenal pasti di beberapa buah negara yang dilalui.
Pengerusi #PeKA Khir Ariffin berkata kembara menggunakan empat buah kenderaan pacuan empat roda itu akan melalui negara Thailand, Laos, China, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran, Emiriah Arab Bersatu, sebelum tiba di Arab Saudi.
"Sumbangan kami terima daripada orang ramai dalam bentuk tajaan dan sumbangan wang, kami akan menggunakan dana terbabit untuk membeli barang-barang di negara-negara yang kami akan dermakan.
"Destinasi pertama kami adalah Pulau Pinang untuk menyampaikan bantuan di sebuah madrasah tahfiz, esok sebelum melintasi sempadan Malaysia-Thailand dan bermalam di Hatyai untuk malam pertama. Kami jangkakan ada kira-kira 30 hentian sepanjang perjalanan," katanya pada sidang media selepas majlis pelepasan kembara itu di Wisma Bernama hari ini.
Pelepasan para peserta yang terdiri daripada 14 lelaki dan dua wanita berkenaan disempurnakan Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh.
Turut serta dalam kembara itu ialah Ketua Editor Tugasan Bernama News Channel (BNC) Abdul Rahman Ahmad dan jurukamera Ahmad Shahuri Mat Jaan.
Khir berkata pihaknya turut mengalu-alukan tajaan daripada mana-mana pihak yang mahu menyumbang bagi menjayakan misi mereka, menerusi akaun bank Maybank 562405610940.
Sementara itu Zulkefli berterima kasih kepada #PeKA kerana menjemput Bernama untuk turut serta dalam kembara berkenaan dan menarik perhatian bahawa segala aktiviti sepanjang perjalanan akan dikongsi dengan masyarakat dalam bentuk dokumentari oleh BNC melalui 13 episod.
"Mudah-mudahan ekspedisi ini akan menyemarakkan kembali semangat kembara dalam kalangan rakyat Malaysia kerana satu masa dahulu dalam sejarah negara, kita pernah merantau tujuh lautan. Ini sangat bagus, untuk menghidupkan keberanian kita hadapi cabaran dan sebagainya.
"Dokumentari yang bakal dikeluarkan ini diharap dapat menjadi medium pendidikan yang sangat baik untuk rakyat Malaysia," katanya. -- BERNAMA
Abdul Rahman |
No comments:
Post a Comment