Oleh Allias Puteh
(Wartawan daerah Bernama, Allahyarham Allias Puteh, 69, yang meninggal dunia 18 Julai lalu menulis mengenai Tok Bok yang berusia 102 tahun dalam bentuk berita pada 24 Jun. Bernama menyiarkan semula versi penuh nukilan Allahyarham dalam bentuk rencana bersama maklumat tambahan akan keperluan keluarga Tok Bok. Ia adalah antara tulisan terakhirnya.)
Beliau masih mampu menguruskan diri serta berjalan sendiri tanpa bantuan orang, walaupun dipercayai menjangkau usia 102 tahun.
Bukan setakat itu sahaja, Siti Zahrah Wahab atau dikenali mesra Tok Bok dari Kampung Tanjung Belit, Mukim Sidam Kanan, Padang Serai, Kulim, masih kuat daya ingatannya.
“Berjalan tok gunakan tongkat. Penglihatan tok semakin berkurangan tetapi masih boleh melihat dengan jelas dari dekat. Kalau tengah hari panas tok kena pakai cermin mata hitam untuk atasi masalah silau mata,” katanya ketika ditemui penulis di rumahnya.
Tok Bok adalah anak sulung daripada lapan adik beradik terdiri daripada enam orang lelaki dan dua orang perempuan. Empat orang adiknya sudahpun meninggal dunia.
Walaupun tahun kelahiran pada kad pengenalannya dicatat 1925, anggota keluarganya berkata beliau sebenarnya ‘dimudakan’ 10 tahun kerana lewat mendaftar dokumen pengenalan diri, satu yang lazim dibuat dahulu.
Tok Bok yang masih mampu bertutur dengan jelas memberitahu penulis bahawa beliau bernikah dua kali dan dikurniakan empat orang anak.
MELAYARI KISAH HIDUP TOK BOK
Hasil daripada perkahwinan pertamanya pada usia 18 tahun, beliau dikurniakan tiga orang anak, dua lelaki dan seorang perempuan dan seorang anak perempuan hasil perkahwinan keduanya. Anak lelaki sulungnya itu yang lahir dua tahun selepas beliau mendirikan rumah tangga kini berusia 82 tahun.
Menariknya, Tok Bok berkata kedua-dua suaminya yang sudah lama meninggal dunia bernama Bakar. Satu lagi perkara menarik mengenai Tok Bak ialah sejak zaman kanak-kanak hingga hari ini beliau menetap di kampung yang sama. Begitu juga dengan dua orang anaknya.
Tok Bok kini tinggal bersama anak keduanya, Zubaidah 75, seorang ibu tunggal, di kampung itu sementara anak ketiganya Yusof ,72, menetap di rumah bersebelahan. Anak bongsu, Azizah, 65, pula tinggal di kampung berhampiran.
"Anak tok yang sulung,Yazid, duduk di Felda Keratong, Pahang, dah lama dia di sana Ada juga dia balik sini jumpa Tok.
"Cucu tok sembilan orang, cicit 15 dan piut hanya seorang saja," jelas Tok Bok kepada penulis.
Apabila Bernama meminta anak bongsunya itu mengesahkan bilangan cucu, Azizah tidak ingat dan bertanya kepada Tok Bok yang mengira cucunya satu persatu dengan memanggil nama mereka dan angka sembilan itu memang tepat. Betapa kuatnya daya ingatan Tok Bok yang menjangkau usia 102 tahun.
Sementara itu, Zubaidah yang mengurus makan-minum Tok Bok berkata sekarang ibunya itu lebih banyak makan nasi, sayur dan lauk bergoreng sahaja.
"Sejak akhir-akhir ini emak kurang makan ulam-ulaman lagi sebab perutnya sering terasa pedih bila makan sambal belacan ," kata Zubaidah.
Azizah pula berkata ibunya tidak mempunyai masalah kesihatan yang berat cuma seringkali sakit urat dan sakit pinggang.
“Mungkin kerana sewaktu usia muda dahulu ibu bekerja keras menoreh getah dan turun ke sawah,” katanya. Nasi yang dimakan keluarga adalah daripada kudrat empat kerat ibunya. Tok Bok semasa mudanya menumbuk padi untuk dijadikan beras.
Walaupun suaranya masih jelas apabila berbual, pendengarannya semakin kurang dan untuk berbual dengannya perlu bercakap dengan kuat.
Menurut Zubaidah lagi, urusan mandi-manda dilakukan sendiri oleh ibunya dan beliau masih mampu berjalan keluar sekeliling rumah secara bersendirian menggunakan tongkat.
Tok Bok masih ingat peristiwa lampau yang sering diceritakan kepada anak cucu dan saudara-mara. Umpamanya ketika zaman pendudukan Jepun, ibu dan rakan-rakannya akan melarikan diri ke kubu yang dibina khas jika mendapat khabar akan kedatangan tentera Jepun.
Tok Bok masih ingat peristiwa lampau yang sering diceritakan kepada anak cucu dan saudara-mara. Umpamanya ketika zaman pendudukan Jepun, ibu dan rakan-rakannya akan melarikan diri ke kubu yang dibina khas jika mendapat khabar akan kedatangan tentera Jepun.
Bagaimanapun, sejak beberapa hari kebelakangan ini Tok Bok uzur dan lebih banyak berehat dan tidur.
TOK BOK DAN KELUARGA HIDUP DALAM KESEMPITAN
Bagaimanapun, masalah besar keluarga Tok Bok adalah kesempitan hidup. Zubaidah yang sudah berusia terpaksa bekerja sebagai pekerja am dengan pendapatan RM270 sebulan di sebuah sekolah agama di kampung itu untuk menampung kehidupan.
Beliau juga menjadi pengasuh anak di rumah seorang guru dan semasa Zuraidah keluar bekerja, Azizah akan datang membantu.
Seorang lagi anak Tok Bok, Yusof juga akan turun membantu. Mereka menerima bantuan daripada Pejabat Zakat Kedah sekali sahaja setahun dan tiada pendapatan lain.
Seorang lagi anak Tok Bok, Yusof juga akan turun membantu. Mereka menerima bantuan daripada Pejabat Zakat Kedah sekali sahaja setahun dan tiada pendapatan lain.
Baru-baru ini Tok Bok menerima sepasang baju kurung baru dan sehelai kain batik untuk dipakai sempena Hari Raya Aidilfitri daripada Tokoh Ma'al Hijrah 2011 Daerah Kulim Tan Kim Pheng, lebih dikenali mesra sebagai 'Ah Peng' .
'Tok Bok' menerima sepasang baju kurung daripada Kim Pheng |
Mereka terkejut apabila Bernama yang menghubungi mereka untuk mendapatkan maklumat lanjut memaklumkan penulis itu sudah meninggal dunia.
“Allias sangat prihatin terhadap kesihatan dan keluarga Tok Bok. Allias turut berpesan supaya “jaga baik-baik” sebelum berpisah” kata Azizah.
Orang ramai yang berhasrat membantu meringankan beban Tok Bok dan Siti Zahrah boleh menghubungi talian : 0174787876 (Zubaidah Bakar) .
SIDE BAR
ALLIAS PUTEH BERMINAT MENULIS
Penulis kisah Tok Bok, Allahyarham Allias Puteh, 69, adalah pemberita daerah Bernama sejak awal 1980an dan meneruskan penulisan beliau sepenuh masa selepas bersara sebagai juruteknik di Jabatan Kerja Raya.
Sebagai pemberita daerah, beliau aktif menulis kisah serta perkembangan yang berlaku di sekitar daerah Kulim dan Bandar Baharu. Selain berita, beliau banyak mengisahkan kehidupan penduduk di kampung sekitar melalui rencananya.
Rakan serta sahabat handai termasuk Ketua Biro Bernama Kedah Zabidi Ishar dan Ketua Biro Bernama Perlis Zainal Abdul Jalil mengenali Allias sebagai pemberita sambilan yang rajin dan benar-benar berminat menulis.
Awal tahun ini beliau menerima penghargaan daripada polis Kulim kerana sumbangan beliau sebagai pemberita daerah dan lima tahun lepas menerima penghargaan sama daripada bomba dan penyelamat Kulim.
Allias dimasukkan ke Hospital Kulim pada 12 Julai kerana masalah buah pinggang dan menghembuskan nafas terakhirnya pada 18 Julai. Beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid At-Taufiq, Air Merah, Kulim.
Beliau meninggalkan isteri, Asma Zakaria, 72, seorang pesara guru dan lima orang anak, berusia dari 26 hingga 44 tahun, serta lima orang cucu. Al-Fatihah.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment