Kembara mencari harta karun anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama (Benita) sejak 2011 menjadi antara platfom terbaik untuk membantu mempromosikan produk pelancongan di negara ini.
Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh berkata program dwitahunan itu juga dapat mengeratkan silaturahim antara petugas Bernama dan agensi luar serta syarikat korporat yang selama ini turut menyumbang dalam pelaporan agensi berita itu.
“Untuk tahun ini, program ‘All Ladies Treasure Hunt 2017’ ini kita adakan dari Kuala Lumpur ke Pekan bertemakan ‘Kawan Nak ke Pekan’ bersempena sambutan Jubli Emas Bernama dan Tahun Melawat Pahang 2017.
“Dalam perjalanan mereka singgah di kawasan-kawasan menarik seperi santuari gajah di Kuala Gandah, bandar Karak, bandar ikan patin Temerloh dan bandar Pekan selain soalan-soalan yang diberikan turut mendedahkan peserta mengenai sejarah bernilai di negeri ini di samping keindahan yang ada sepanjang perjalanan mereka," katanya.
Beliau menyatakan demikian pada majlis penyampaian hadiah acara itu di Pekan malam tadi.
Kembara mencari harta karun berkenaan melibatkan 200 peserta dengan 45 buah kereta merangkumi warga kerja Bernama, orang awam serta syarikat korporat.
Pengerusi Benita Datin Rohana Mustaffa berkata acara kembara kali ini mendapat sambutan menggalakkan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
"Sokongan yang diberikan oleh penaja seperti AmBank, Mah Sing Group, Tourism Pahang memeriahkan lagi acara pada tahun ini yang menampilkan keistimewaan dan keunikan yang ada di negeri Pahang," katanya.
Cabaran kali ini menawarkan hadiah wang tunai RM3,000 untuk juara manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM2,000 dan RM1,000 bagi kedua-dua kategori terbuka dan tertutup selain hadiah iringan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment