Saturday 15 July 2017

Jelajah 1 Jiwa hargai bekas petugas Bernama...

Program Konvoi Jelajah 1 Jiwa Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merupakan usaha murni dalam menghargai jasa bekas petugas Bernama di seluruh negara, kata bekas wartawan Bernama Nasarudin Omar. 
Beliau berkata, usaha itu membuktikan bahawa agensi berita tersebut masih mengambil berat dan prihatin terhadap kebajikan bekas pekerjanya.
"Selain daripada aktiviti ziarah, kehadiran peserta konvoi juga dapat merapatkan hubungan silaturahim antara kakitangan Bernama," kata Nasarudin, 57 yang bertugas di biro Melaka sebelum bersara.
"Saya berterima kasih kerana dihargai meskipun sudah lapan bulan bersara sebagai wartawan Bernama. Saya amat terharu menerima kunjungan daripada rakan-rakan Bernama dan ini merupakan kali pertama rumah saya diziarahi begitu ramai tetamu," katanya ketika ditemui selepas menyambut ketibaan konvoi itu di rumahnya di Bukit Katil, Melaka.
Beliau berharap program yang diadakan bersempena sambutan Ulangtahun ke-50 Jubli Emas Bernama itu dikekalkan sebagai acara tahunan bagi merapatkan hubungan antara kakitangan yang masih berkhidmat dan golongan veteran Bernama.
Anak kelahiran Negeri Sembilan yang berkhidmat selama 35 tahun dengan Bernama berkata selepas bersara beliau banyak mengisi masa lapangnya dengan aktiviti membaca dan menziarahi saudara mara pada hujung minggu.
Dalam pada itu, Nasarudin menasihati wartawan muda di Bernama supaya berani menyahut cabaran baharu dunia kewartawanan dan menghasilkan berita dengan pantas serta berkualiti agar dapat seiring bersama media arus perdana lain.
Konvoi 15 motosikal berkuasa tinggi yang berlepas dari ibu pejabat Bernama pada Sabtu lepas, turut disertai empat kereta dalam misi menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada veteran agensi berita itu di seluruh ngara.
Konvoi yang diketuai wartawan Amrizan Madian tiba di Melaka semalam dan disambut Ketua Biro Bernama Melaka Fadzli Ramli sebelum meneruskan perjalanan ke Negeri Sembilan dan mengakhiri konvoi tersebut di Wisma Bernama, Kuala Lumpur, petang ini.
-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment