Friday 21 July 2017

Majlis Aidilfitri Bernama disambut meriah...

 Majlis Sambutan Aidilfitri Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) 2017 berlangsung meriah hari ini dengan kehadiran kira-kira 1,000 tetamu dan warga kerja agensi berita itu.
Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang berkata majlis yang berlangsung di Wisma Bernama merupakan antara sambutan Aidilfitri paling meriah pernah diadakan di Bernama.
"Saya amat gembira dan bersyukur begitu ramai yang hadir pada majlis ini yang secara tidak langsung menunjukkan keakraban petugas Bernama yang hampir mencecah 1,000 orang.
"Saya juga berharap agensi ini akan mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang dan terus mengharumkan nama Bernama," katanya pada majlis tersebut.
Turut hadir Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh, Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abd Wahab, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Datuk Mokhtar Hussain, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Nor Faridah Abdul Rashid dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Antarabangsa Ahmad Zukiman Zain.
Azman berkata tugas wartawan kini lebih mencabar dengan kewujudan fenomena berita palsu yang disebarkan di media sosial oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Tidak lama lagi negara bakal menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14, tugas Bernama akan menjadi lebih berat dalam menyampaikan berita yang benar dan sahih kerana rakyat dan negara bergantung kepada sumber berita dari Bernama yang merupakan sebuah agensi berita utama negara.
"Saya juga akan turun padang berjumpa warga kerja Bernama untuk memberi semangat dan berkongsi pengalaman saya sebagai wartawan sebelum ini...apa yang penting laporan kita mestilah tepat dan sahih," katanya. 
Majlis yang bermula 3 petang dan berakhir kira-kira 6 petang itu diserikan dengan pelbagai juadah yang sinonim dengan sambutan Syawal seperti sate, kambing golek, nasi arab, laksa dan kuih-muih.
Turut hadir ialah serombongan pemimpin media Indonesia yang berada di Kuala Lumpur untuk mengadakan mesyuarat mengenai kerjasama dengan media Malaysia.
Pada majlis itu Azman turut mengagihkan duit raya kepada petugas Bernama yang terpilih sebagai tanda menghargai sumbangan dan jasa mereka terhadap agensi tersebut.
-- BERNAMA



No comments:

Post a Comment