Tuesday 18 July 2017

Bernama bantu pelajar UKM mantap penguasaan Bahasa Arab

Oleh Muammar Eusouffi Zainol Abidin

Bahan berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) versi bahasa Arab menjadi pilihan para pelajar jurusan bahasa Arab di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam memantapkan penguasaan bahasa tersebut.
Guru Bahasa, Unit Bahasa Arab, Fakulti Pengajian Islam (FPI) UKM, Ustazah Zuraida Shaadon berkata berita bahasa Arab Bernama menjadi antara pilihan utama dalam melatih pelajar menguasai empat kemahiran penting iaitu membaca, menulis, mendengar dan bertutur dalam bahasa Arab.
"Untuk menguasai berita Arab bukan satu perkara yang mudah kerana laras bahasa moden yang memerlukan kemahiran sangat tinggi".
"Setiap minggu kami mewajibkan tugasan khas kepada pelajar untuk membuka laman web Bernama versi bahasa Arab serta menganalisis berita-berita yang diminati", kata beliau ketika ditemui Bernama di Jabatan Pengajian Arab dan Tamaddun Islam, FPI, UKM.
Zuraida berkata berita bahasa Arab Bernama bersifat tempatan dan terkini serta memudahkan pelajar memahami dan menguasai bahasa Arab dengan baik.
Pengerusi Jawatankuasa Pemantapan Bahasa Arab, UKM, Prof Madya Dr Kaseh Abu Bakar berkata sejak akhir-akhir ini bahasa Arab di Malaysia telah menjadi satu bahasa yang penting dan mempunyai kedudukan yang tinggi di dalam segenap aspek terutamanya di bidang pendidikan dan pelancongan.
Perkhidmatan berita bahasa Arab Bernama telah dilancarkan pada 24 Okt 2002 yang bertujuan meningkatkan penyebaran maklumat mengenai Malaysia di seluruh dunia.
Perkhidmatan itu membabitkan terjemahan berita, rencana dan laporan khas yang dihasilkan Bernama serta petikan akhbar-akhbar berwibawa yang ada kaitan dengan perkembangan Islam di Malaysia atau relevan kepada hubungan antara Malaysia dan negara-negara Arab.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment